Monday, December 22, 2008

Tidak Sah Solat Berjamaah Jika Saf Putus

Menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat merupakan suatu permasalahan yang kian terabai. Ramai di kalangan masyarakat hari ini, mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyka berlaku di masjid-masjid dan surau-surau sekeliling kita.


Saf-saf solat yang kelihatan renggang, tidak sekata. Lebih mengecewakan apabila para imam sendiri tidak ambil peduli berkenaan hal ini. Terdapat hadith Rasulullah S.A.W dan athar para sahabat yang menitikberatkan persoalan merapatkan saf ini dan ada antara hadith-hadith ini berbentuk ancaman dan balasan bagi jemaah yang tidak merapatkan saf.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Luruskan saf-saf kamu, sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian dari kesempurnaan solat”

(Riwayat al-Bukhari)

Daripada Anas bin Malik:

“Adalah Rasulullah S.A.W memalingkan wajah baginda kea rah kami (menoleh ke arah kami) sebelum baginda bertakbir seraya berkata: luruskan dan betulkan saf kalian.”

(Riwayat al-Bukhari)


Daripada Nu’man bin Bashir telah berkata:

“Rasulullah S.A.W selalu membetulkan saf kami seperti membetulkan anak panah, sehingga kami benar-benar faham akan kepentingan membetul dan meluruskan (saf). Pada suatu hari ketika baginda solat bersama-sama kami sedang baginda hamper bertakbir terlihat seorang lelaki yang berkedudukan dadanya mengereng saf, lantaran baginda bersabda: “Wahai hamba-hamba Allah sama ada kamu betul dan luruskan saf-saf kamu atau Allah S.W.T memalingkan wajah-Nya daripada wajah-wajah kamu.”

(Riwayat Muslim, kitab: al-Solah)

Anas r.a ditanya ketika tiba di Kota Madinah:

“Apa yang kamu ingkari dari perbuatan kami sejak peninggalan Rasulullah S.A.W ?” Dia menjawab: Tidak ada perbuatan kalian meluruskan saf-saf kalian.”

(Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadith-hadith tersebut jelas bahawa kesempurnaan solat bergantung kepada kesempurnaan saf di dalam solat. Solat yang ditunaikan tanpa meneliti kepada kelurusan saf serta tautannya dengan saf-saf yang lain akan menghilangkan fadhilat solat berjamaah.

Yang paling malang ialah Allah memalingkan wajah-Nya daripada golongan yang tidak mempedulikan kesempurnaan saf. Sedangkan solat yang ditunaikan adalah untuk menghadap Allah Taala, suatu komunikasi antara hamba dan penciptanya secara langsung, tetapi malangnya Allah memalingkan rahmat dan kasih sayang-Nya kerana kita lalai menjaga saf.


Sekiranya saf terputus dari imam tanpa alasan syarie, maka solat jamaah itu tidak sah. Sesungguhnya solat secara berjamaah itu ganjaran pahalanya 27 kali ganda berbanding solat secara sendirian. Oleh itu, jangan disebabkan kita tidak menjaga saf semasa solat membatalkan pahala yang besar tersebut. Renung-renungkanlah.

Oleh Ustaz Farid Ravi Abdullah

1 comments:

Dx said...

salam tarbiah,

antum memang bagus..........saf sangat penting terutama dalam solat mahupun luar solat.
malah ita diminta untuk memperkemaskan saff dan Allah menyukainya.... Al-Saff 4