Tuesday, December 09, 2008
Pengorbanan Terbesar Alam Ini
Hari Raya Aidiladha datang lagi. Namun di sebalik kemeriahan menyambut Aidiladha, adakah kita sedar akan peristiwa besar di sebaliknya. Peristiwa pengorbanan Nabi Allah, Nabi Ibrahim a.s dan isterinya, Hajar serta anak mereka, Nabi Ismail a.s. Ia merupakan kisah tentang ketaqwaan, kisah tentang keimanan, kasih sayang dan kisah tentang ketaatan antara makhluk dan Pencipta. Maka seharusnya pada hari yang mulia tersebut kita seharusnya mempertingkatkan amal dan taqwa di samping mengenang dan menghargai pengorbanan besar nabi Allah, Ibrahim, firman Allah dalam Surah al-Haj:
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu sekali-kali tidak akan sampai kepada allah,tetapi yang sampai kepada allah,tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas,yang berdasarkan takwa daripada kamu.Demikianlah dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan allah kerana mendapat nikmat petunjuknya.Sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya.” (Al-Hajj 37)
Oleh itu, bersamalah kita menambah baik amalan-amalan kita untuk memperolehi matlamat darjah ketakwaan yang tinggi ini. Lebih-lebih lagi melaksanakan amalan bertakbir dan berkorban dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah dihari raya korban aiduladha ini selama empat hari, mulai hari ini sehingga 13 zulhijjah.
Berdasarkan ayat dalam Surah al-Hajj yang,kita fahami bahawa kita disuruh untuk memperbanyakkan amalan bertakbir untuk membesarkan allah s.w.t seperti takbir dalam azan, takbir dalam solat,takbir menyambut kelahiran bayi dan banyak lagi perkara-perkara yang disunatkan kita bertakbir termasuk hari raya. Namun itu sedikit sekali jika dibandingkan dengan kurniaan allah yang melimpah-ruah kepada kita. Malah ada juga dikalangan kita yang tidak mahu bertakbir,membesarkan Allah. Sebaliknya masih mengutamakan dan membesarkan pekerjaan dunianya sahaja. Mereka lupakan allah yang mengurniakan kesenangan kepadanya dan menyelesaikan banyak masalah, kenapakah ia tidak mahu bertakbir dan membesarkan Allah?.Kenapakah berat lidah untuk memuji Allah s.w.t?
Sahabat-sahabat,
Teringat kisah sirah Nabi Ibrahim, pengorbanan Nabi Ibrahim sekeluarga ialah pengorbanan yg tiada tolak bandingnya. Pengorbanan ini bukan setakat wang ringgit atau apa sahaja harta yang kita korbankan.Namun apa yang lebih penting ialah berkorban apa sahaja demi mematuhi dan menjunjung perintah Allah. Perintah ini dilaksanakan dengan penuh keikhlasan tanpa memikirkan hasilnya dan dengan penuh keyakinan tanpa ada sedetik keraguan. Inilah pengorbanan yang dilakukan oleh kekasih Allah, Nabi ibrahim a.s, isterinya tercinta Hajar dan anaknya tersayang,Ismail a.s. Pengorbanan ini dibuat dengan penuh rasa keimanan dan keyakinan kepada Allah, walau pun apa yang dilakukan dalam keadaan penuh penderitaan, kepayahan dan kesedihan, namun apa yang dilakukan adalah satu perintah Allah s.w.t.
Oleh itu,Nabi Ibrahim sekeluarga dengan ikhlas, redha dan sabar melaksanakannya juga walaupun ia perlu meninggalkan isteri tercinta yang baru melahirkan anak yang sekian lama ditunggu-tunggu sehinggalah umurnya 89 tahun. Ditinggalkan pula dipadang pasir yang gersang,panas terik, tidak ada air, tiada manusia dan tanpa bekalan makanan yang banyak.Namun ini perintah allah, Nabi Ibrahim tetap mendahulukan pelaksanaannya sebagaimana firman allah;
"Ibrahim pula berkata : aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada tuhanku (berhijrah dari negeri kafir),dia akan memimpinku (ke jalan yang benar)".
(As-Saafat ayat 99)
Oleh kerana pemergiannya atas perintah Allah yang mentadbir sekalian alam, maka Nabi Ibrahim berserah kepada Allah apa yang berlaku kepada mereka berdua walaupun ia tahu kelaparan,dahaga,panas terik matahari dan kesejukkan di malam hari yang akan ditempuhi oleh isteri dan anaknya. Walaupun isterinya mengharap agar suaminya tidak meninggalkannya, tetapi apabila suaminya menjelaskan bahawa ini adalah perintah Allah, akhirnya isterinya sabar menerima takdir ini dan yakin kepada allah bahawa allah tidak akan membiarkannya. Lalu pergilah Nabi Ibrahim a.s bersendirian untuk berdakwah untuk menyebarkan Islam dan mencari kebenaran sambil berdoa untuk isteri dan anaknya. Doa ini dirakamkan dalam Surah Ibrahim dengan maksudnya,
"Wahai tuhan kami!, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku disebuah lembah yang tidak ada tanaman,disisi rumahmu yang diharamkan mencerobohinya.Wahai tuhan kami,(mereka ditempatkan disitu) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat).Oleh itu ,jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik kepada mereka,(supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil
tanaman,semoga mereka bersyukur".
Hajar sebagai seorang ibu dan isteri tabah dan bulat hati menyerahkan nasibnya kepada Allah ditempat tandus ini. Hajar dan anak kecilnya makan dan minum dengan bekalan yang ada, namun akhirnya kehabisan.Tinggallah seorang ibu dan anak dalam kelaparan dan dahaga menempuh penderitaan yang amat perit dipadang gersang ini. Dengan kepanasan terik yang ada, hanya air mata yang bercucuran menanggung segala derita. Hajar meninggalkan anaknya di dataran rendah untuk mencari air demi kasih sayang ibu kepada anaknya disamping bergantung dengan pertolongan Allah. Lalu ia berulang-alik antara bukit Safa dan Maruah sebanyak 7 kali. Hanya keyakinan kepada Allah sahajalah yang dapat menenangkan perasaan dan hatinya ketika itu. Dengan berkat kesabaran dan keikhlasan menerima dugaan ini, Allah menganugerahkan air. Mereka memuji dan bertakbir sebagai tanda syukur kepada Allah yang telah memakbulkan doa.Inilah berkat pengorbanan dan keyakinan pada allah oleh Nabi Ibrahim sekeluarga dalam menunaikan perintah Allah yang menghasilkan kemanfaatan besar hingga ke hari ini.
Ikhwah Akhawat yang dirahmati Allah,
Ujian kepada Nabi Ibrahim sekeluarga bukan berhenti setakat ini sahaja. Ujian yang lebih besar menyusul yang memerlukan pengorbanan lagi besar iaitu korbankan anak demi menyahut seruan allah s.w.t. Allah memerintahkan untuk menyembelih anaknya yang tersayang. Sedangkan baru sahaja bertemu dan baru seketika bermanja sambil mengucapkan kalimah-kalimah membesarkan dan memuji Allah. Sesungguhnya, Allah yang menemukan dan memisahkan. Allah perintahkan menyembelih anak dengan tangannya sendiri. Oleh kerana ini adalah suruhan Allah yang maha berkuasa lagi maha mengetahui, Nabi Ibrahim a.s melaksanakannya juga dengan sepenuh hati sebagaimana allah s.w.t berfirman:
"Maka ketika anaknya itu sampai (keperingkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya,ibrahim berkata :"Wahai anak kesayanganku!, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelih, maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab:"Wahai ayah!, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-allah ayah akan mendapati aku daripada orang yang sabar".
(As-Saafat ayat 109)
Inilah dua kata-kata yang tiada tolak bandingannya dari segi pengorbanan yang sebenarnya. Kata-kata yang mengandungi ketabahan dan pengorbanan yang hanya dimiliki oleh orang yang penuh iman dan penyerahannya kepada Allah. Walaupun sebelum ini keduanya telah diuji dengan pelbagai ujian tanpa henti, tetapi mereka tetap telah ,berdoa dan akhirnya selamat. Sekarang pula keduanya diuji dengan ujian besar dan diluar jangkaan manusia, iaitu diperintahkan menyembelih anaknya yang sangat dicintainya dan dengan harapan anaknya akan menjadi pewaris dan penggantinya. Namun, keduanya tetap tabah untuk melaksanakan perintah mimpi dari Allah ini dengan ikhlas dan berserah. Tiada kekuatan yang lebih hebat untuk melaksanakan perintah ini selain senjata keimanan dan pengorbanan kepada Allah.
Keduanya pun bersiap untuk melaksanakan penyembelihan ini dikaki sebuah bukit di Mina. Sebelum mereka sampai ditempat ini,iblis yang menyamar sebagai manusia cuba menggoda kedua beranak ini supaya jangan melakukan penyembelihan ini dengan pelbagai alasan antaranya ia perbuatan gila dan Ibrahim gila. Lalu Nabi Ibrahim membaling iblis ini dengan berulang kali ditiga tempat sebagaimana sekarang disebut Jamratul Sughra, Jamratul Wustho dan Jamratul Kubra.
Apabila keduanya hampir melakukan penyembelihan, Allah rakamkan peristiwa ini dengan firmannya dalam surah as-saafat ayat 103-111 yang bermaksud:
"Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, lalu kami menyerunya:"Wahai ibrahim !, engkau telah membenarkan menyampai itu ."Demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berbuat baik. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata,dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar dan kami abadikan baginya (nama yang dikenang) dikalangan orang yang datang kemudian, salam sejahtera kepada Ibrahim!."Demikianlah kami membalas orang yang berbuat baik,sesungguhnya Ibrahim itu termasuk dikalangan hamba-hamba kami yang beriman".
Demikianlah contoh pengorbanan, ketabahan dan keihlasan hamba Allah yang taat. Hasilnya, Allah menjanjikan kejayaan dan kebahagiaan hidup yang bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga serta zuriat seterusnya, tetapi bermanfaat untuk orang lain yang berkekalan termasuk jutaan jemaah haji yang sedang berkumpul sekarang ini ditanah suci Mekah.
Di sini ana nak meninggalkan persoalan kepada antum antuna semua:
Apakah erti pengorbanan bagi antum?
Perlukah kita berkorban untuk agama sebenarnya? Bukankah orang lain dah berkorban, cukuplah?
Adakah kita berasa leceh dan menyesal jika terpaksa berkorban harta dan tenaga kita untuk berbuat kebaikan dan membantu agama Allah?
Posted by
BIRO KEROHANIAN DAN MORAL JPP IPGKI
0 comments:
Post a Comment