Saturday, December 31, 2011

Rasa Nyata Hidup Bertuhan

Bismillahirrohmanirrohim...

Saudara,
Seringkali persoalan yang dilontarkan adalah tentang mengapa doa yang seringkali tidak dimakbulkan sedangkan Allah berjanji akan memakbulkan semua doa hambaNya kepadaNya. Juga persoalan mengapa sabar dan solat tidak mampu menjadi penolong hidup seorang hamba serta mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Saya ingin membawa saudara semua untuk menghayati cuma satu hal yang sebenarnya cukup sederhana di dalam kita menyedari masalah utama di dalam persoalan di atas. Hal ini ialah tentang mengenal dan merasai diri sendiri.

Saudara,
Seringkali kita sekadar tahu dan kenal diri tetapi kita tidak merasakan kedudukan diri kita terhadap Allah SWT. Mari kita lihat beberapa contoh.
Ketika kita bercakap dengan pasangan kita, kita bukan sekadar tahu dan kenal kita ini siapa tetapi kita juga meRASAkan kedudukansiapa kita.

Seorang suami, tanpa perlu berkata dia suami kepada isterinya pun tetap merasai dirinya seorang suami dengan NYATA dan JELAS ketika bercakap dengan isterinya. Begitu juga dengan seorang isteri, tidak perlu berkata di dalam hati bahawa dia adalah isteri kepada suaminya pun, dia tetap merasai dengan NYATA dan JELAS bahawa dia adalah seorang isteri. Seorang anak yang bercakap dengan ibu atau ayahnya pasti akan berasa dengan JELAS dan NYATA bahawa dia merupakan seorang anak. Seorang ayah atau ibu juga berasa dengan JELAS dan NYATA bahawa dia merupakan ayah atau ibu kepada anaknya itu. Semua rasa ini JELAS dan NYATA walau kita pergi ke mana dan bila-bila masa pun. Walau dalam apa jua keadaan pun kita tetap terus merasakannya dengan JELAS dan NYATA.

Cuba saudara sekarang ini diam sebentar dan hadirkan wajah pasangan, anak-anak, ibu atau ayah dan kawan-kawan….kemudian rasakan siapa saudara dengan mereka. Nyata dan jelas rasanya siapa saudara dengan mereka bukan?

Saudara,
Rasa kedudukan siapa kita ini bukan sekadar tahu dan sedar. Ia cukup JELAS DAN NYATA. Ia dirasai tanpa bahasa atau pun tulisan untuk menjelaskan rasa itu.
Ia bukan sekadar yakin malah sangat yakin sehinggakan jika diletakkan pisau di leher kita pun, kita tetap akan mempertahakan keyakinan bahawa diri kita ini suami, isteri, anak, ibu atau ayah atau sesiapa sahaja di dalam hidup kita ini kerana kita MERASAI dengan YAKIN dan JELAS siapa kita.
Nah! sekarang ini cuba kita rasakan kedudukan kita dengan Allah SWT. Kita tahu dan sedar bahawa kita ini hambaNya yang memerlukanNya. Namun sejauh mana, senyata mana, sejelas mana rasa kehambaan kita ini terhadap Allah SWT?

Sejauh mana ketika kita berdoa, kita berasa yang kita hambaNya dan memerlukanNya sepenuhnya. Senyata mana rasa yang kita ini adalah hanya hambaNya yang tidak ada apa-apanya yang sangat-sangat mengharap pada Allah SWT. Sejelas mana rasa yakin kita terhadap Allah SWT di dalam memakbulkan segala apa yang kita doakan.

Begitu juga di dalam solat. Kita bersolat hanyalah jasad di mana kesedaran kita entah ke mana. Kita ini hilang terawang-awangan sibuk mengakses data yang tersimpan di otak kita. Kita berada di dalam keadaan minda bawah sedar…lalai…khayal…khusyuk yang bukan ke Allah tapi kepada kenangan lampau.
Kita yang sebenar TIDAK BERASA pulang ke Allah. Kita yang sebenar tidak bertemu dengan Allah SWT. Lalu bagaimana mungkin solat mampu menjadi penolong kita untuk mencegah perkara keji dan mungkar.

Saudara,
Yang utama adalah kita kenal siapa kita, kenal Allah lalu bertemulah dengan Allah SWT. Tidak kenal kita ini siapa, bimbang jika yang bertemu itu bukan kita tetapi hanya jasad dan kita terlencong entah ke mana.


Begitu juga di dalam solat, tenang dalam setiap gerakan…satu persatu..benar-benar merasai ketika kita melaksanakan rukun solat…rendahkan hati….rasakan dengan jelas dan nyata kita ini hanya hambaNya…kemudian bacalah dengan penuh rendah hati bacaan-bacaan solat. Ringkasnya…sambung jiwa (diri) ke Allah…kemudian barulah gerakan.

Semoga kita yang sebenarnya sentiasa sedar akan Allah SWT…sentiasa bersambung dengan Allah SWT…rasa dengan NYATA dan JELAS.

Diedit dan diambil dari: SINI

0 comments: