Saturday, December 31, 2011

Rasa Nyata Hidup Bertuhan

Bismillahirrohmanirrohim...

Saudara,
Seringkali persoalan yang dilontarkan adalah tentang mengapa doa yang seringkali tidak dimakbulkan sedangkan Allah berjanji akan memakbulkan semua doa hambaNya kepadaNya. Juga persoalan mengapa sabar dan solat tidak mampu menjadi penolong hidup seorang hamba serta mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Saya ingin membawa saudara semua untuk menghayati cuma satu hal yang sebenarnya cukup sederhana di dalam kita menyedari masalah utama di dalam persoalan di atas. Hal ini ialah tentang mengenal dan merasai diri sendiri.

Saudara,
Seringkali kita sekadar tahu dan kenal diri tetapi kita tidak merasakan kedudukan diri kita terhadap Allah SWT. Mari kita lihat beberapa contoh.
Ketika kita bercakap dengan pasangan kita, kita bukan sekadar tahu dan kenal kita ini siapa tetapi kita juga meRASAkan kedudukansiapa kita.

Seorang suami, tanpa perlu berkata dia suami kepada isterinya pun tetap merasai dirinya seorang suami dengan NYATA dan JELAS ketika bercakap dengan isterinya. Begitu juga dengan seorang isteri, tidak perlu berkata di dalam hati bahawa dia adalah isteri kepada suaminya pun, dia tetap merasai dengan NYATA dan JELAS bahawa dia adalah seorang isteri. Seorang anak yang bercakap dengan ibu atau ayahnya pasti akan berasa dengan JELAS dan NYATA bahawa dia merupakan seorang anak. Seorang ayah atau ibu juga berasa dengan JELAS dan NYATA bahawa dia merupakan ayah atau ibu kepada anaknya itu. Semua rasa ini JELAS dan NYATA walau kita pergi ke mana dan bila-bila masa pun. Walau dalam apa jua keadaan pun kita tetap terus merasakannya dengan JELAS dan NYATA.

Cuba saudara sekarang ini diam sebentar dan hadirkan wajah pasangan, anak-anak, ibu atau ayah dan kawan-kawan….kemudian rasakan siapa saudara dengan mereka. Nyata dan jelas rasanya siapa saudara dengan mereka bukan?

Saudara,
Rasa kedudukan siapa kita ini bukan sekadar tahu dan sedar. Ia cukup JELAS DAN NYATA. Ia dirasai tanpa bahasa atau pun tulisan untuk menjelaskan rasa itu.
Ia bukan sekadar yakin malah sangat yakin sehinggakan jika diletakkan pisau di leher kita pun, kita tetap akan mempertahakan keyakinan bahawa diri kita ini suami, isteri, anak, ibu atau ayah atau sesiapa sahaja di dalam hidup kita ini kerana kita MERASAI dengan YAKIN dan JELAS siapa kita.
Nah! sekarang ini cuba kita rasakan kedudukan kita dengan Allah SWT. Kita tahu dan sedar bahawa kita ini hambaNya yang memerlukanNya. Namun sejauh mana, senyata mana, sejelas mana rasa kehambaan kita ini terhadap Allah SWT?

Sejauh mana ketika kita berdoa, kita berasa yang kita hambaNya dan memerlukanNya sepenuhnya. Senyata mana rasa yang kita ini adalah hanya hambaNya yang tidak ada apa-apanya yang sangat-sangat mengharap pada Allah SWT. Sejelas mana rasa yakin kita terhadap Allah SWT di dalam memakbulkan segala apa yang kita doakan.

Begitu juga di dalam solat. Kita bersolat hanyalah jasad di mana kesedaran kita entah ke mana. Kita ini hilang terawang-awangan sibuk mengakses data yang tersimpan di otak kita. Kita berada di dalam keadaan minda bawah sedar…lalai…khayal…khusyuk yang bukan ke Allah tapi kepada kenangan lampau.
Kita yang sebenar TIDAK BERASA pulang ke Allah. Kita yang sebenar tidak bertemu dengan Allah SWT. Lalu bagaimana mungkin solat mampu menjadi penolong kita untuk mencegah perkara keji dan mungkar.

Saudara,
Yang utama adalah kita kenal siapa kita, kenal Allah lalu bertemulah dengan Allah SWT. Tidak kenal kita ini siapa, bimbang jika yang bertemu itu bukan kita tetapi hanya jasad dan kita terlencong entah ke mana.


Begitu juga di dalam solat, tenang dalam setiap gerakan…satu persatu..benar-benar merasai ketika kita melaksanakan rukun solat…rendahkan hati….rasakan dengan jelas dan nyata kita ini hanya hambaNya…kemudian bacalah dengan penuh rendah hati bacaan-bacaan solat. Ringkasnya…sambung jiwa (diri) ke Allah…kemudian barulah gerakan.

Semoga kita yang sebenarnya sentiasa sedar akan Allah SWT…sentiasa bersambung dengan Allah SWT…rasa dengan NYATA dan JELAS.

Diedit dan diambil dari: SINI

Thursday, December 29, 2011

Hati yang bagaimana oh Tuhan?

Bismillahirrohmanirrohim...


Oleh : Ustaz Salman Maskuri

Kita selalu bertanya tentang keadaan kesihatan zahir tapi kita tetapi sering mengabaikan keadaan hati nurani kita. Kita sanggup menghabiskan duit ratusan ribu untuk mengubati penyakit zahir tetapi tidak mempedulikan kesihatan hati kita sedangkan tuhan hanya menerima hati kita . Firman Allah swt:

“ Pada hari tidak bergunanya harta dan anak pinak kecuali yang berjumpa dengan tuhan dengan hati yang sejahtera.”

Hati yang sihat adalah hati yang mempunyai perasaan semasa melakukan ibadat. Orang yang memiliki hati yang sihat akan merasai kemanisan dalam ibadahnya.

Ibnul Qayyim berkata:

“Periksalah hatimu pada tiga keadaan : ketika kamu membaca al-Quran, ketika dalam majlis zikir dan ketika kamu bersendirian dengan tuhan. Sekiranya kamu dapati hati kamu kosong maka hendaklah kamu meminta pada Allah menganugerahkan hati pada mu. Sesungguhnya kamu tidak ada hati.”

Hati yang sihat adalah hati yang gementar apabila disebut nama tuhan . Hati yang terkesan dengan bacaan al-Quran. Hati yang teruja bila mendengar azan. Hati yang takut apabila disebut api neraka tuhan. Firman Allah swt:

“ Sesungguhnya orang-orang beriman hanyalah orang-orang yang yang gementar hati mereka bila disebut nama Allah, bertambah iman mereka apabila dibacakan ayat2 Allah swt dan berserah hati mereka pada tuhan.” (Ayat 2 surah al-Anfal)
Hati yang sihat adalah hati yang sentiasa mengambil ibrah (pengajaran) pada setiap kejadian tuhan. Firman Allah swt:

“ Sesungguhnya kejadian langit dan bumi serta silih ganti siang dan malam adalah tanda2 kepada orang-orang yang berakal.” (Ayat 190 surah ali Imran)

Sesungguhnya otak yang berfikir tentang kejadian tuhan dan sentiasa mengambil pengajaran adalah dari hati yang sihat. Firman Allah swt:

“ Mengapakah mereka tidak berjalan di atas muka bumi supaya mereka memiliki hati yang berakal untuk memahami atau mempunyai telinga yang mendengar untuk menerima. Sesungguhnya bukan mata yang buta tetapi hati yang ada di dada itu yang buta.” (46 : 22 surah al-Hajj)

Sebenarnya apa yang berlaku setiap hari pada diri kita dan sekeliling kita ada mempunyai banyak pengajaran. Sebanyak mana pengajaran yang boleh diambil setinggi itulah tahap kesihatan hati kita.

Contohnya:

Suatu hari hasan a-basri diberi air untuk dia berbuka puasa. Bila air itu hampir dengan mulutnya beliau menangis. Beliau berkata “ Aku teringat akan keinginan ahli neraka seperti yang disebut dalam Quran:

“ Berilah hai ahli syurga , air minum untuk kami …” (50 : al-A’raf)
Namun jawapannya:

“ Sesungguhnya Allah mengharamkan air dan rezki untuk orang kafir.” (50 : al-A’raf)

Hati yang sihat akan menyebabkan mulut yang baik. Mulut yang baik adalah mulut yang sentiasa menyebut nama tuhan dan tidak mengumpat, memaki, menyebar keaiban orang, mengeluh dan sebagainya.

Nabi saw bersabda:

“ Tidak lurus iman seseorang sehingga lurus hatinya dan tidak lurus hatinya sehinggalah lurus lidahnya.”

(Hr Hakim)



Hati ini sentiasa terdetik nama Allah. Sebanyak mana kamu mengingat sesuatu setinggi itulah kasihmu padanya. Sekiranya hatimu banyak menyebut nama tuhan itu tanda kasihmu padanya adalah benar2 wujud. Kalau hati lebih banyak menyebut tentang wanita, takhta, kerja, periksa, harta, kereta atau dunia maka dakwaan cintamu pada tuhan adalah bohong.

Hati yang sihat adalah hati yang banyak runsing tentang hal akhirat dan masalah umat Islam.

Kita lihat Nabi bersabda:

“ Surah Hud dan saudara2nya telah menyebabkan kepalaku beruban.”

Ini kerana surah-surah ini (Hud, an-Nazia’at dan al-Mursalat) mengandungi tentang kisah Nabi2 yang terdahulu, kisah tentang neraka dan kisah umat-umat yang derhaka.

Allah menempelak manusia yang banyak pengetahuan dunia tetapi jahil dan lalai tentang akhiratnya.

“ Mereka mengetahui tentang hal ehwal dunia tetapi lalai dengan akhirat mereka.” Ar-Rum ayat 7

Kita tahu tentang nama benda yang kecil dan mikro dalam tubuh manusia, dalam komputer, dalam kereta tetapi tidak tahu berapa lama api neraka dipanaskan, berapa kali ganda api neraka dr api dunia, apakah nama2 makanan dan minuman ahli neraka dan lain2.

Kita tahu nama2 artis , nama pemain bola dan nama selebriti tetapi kita tidak tahu apakah nama binatang yang menyeksa manusia di akhirat.


YA ALLAH HATIKU TERLALU BANYAK MEMIKIRKAN TENTANG DUNIA SEHINGGA MELUPAKAN MU

YA ALLAH HATIKU SENTIASA RUNSING KEHILANGAN DUNIA TETAPI BANYAK MANA AKHIRAT YANG HILANG DAN AKU BUAT TAK TAHU

YA ALLAH HATI YANG KERAS DAN BERPENYAKIT CINTA DUNIA INI HANYA LAYAK UNTUK DIBAKAR BERSERTA DENGAN SARUNGNYA SEKALI (JASAD) TETAPI AKU TAK DAYA MENAHAN API NERAKAMU

YA ALLAH BERSIHKANLAH HATI INI DARI PENYAKIT DAN CAMPAKKANLAH PADANYA CINTA PADAMU

SESUNGGUHYA SEMUA CINTA ADALAH SEMENTARA DAN MENYAKITKAN MELAINKAN CINTA PADAMU DAN CINTA APA YANG KAU SURUH MENYINTANYA.

YA ALLAH AKU TIDAK BERPUTUS ASA UNTUK MENDAPATKAN HATI YANG BERSIH DAN SIHAT UNTUK AKU PERSEMBAHKAN PADA MU DI SANA… BANTULAH AKU.. TOLONGLAH AKU.. JANGAN KECEWAKAN KU YA RAMAN YA RAHIM



SUMBER: http://www.loveloveislam.com/2011/03/hati-yang-bagaimana-oh-tuhan.html

Wednesday, December 28, 2011

Dakwah Itu Cool

Bismillahirrohmanirrohim...

Secebis bingkisan buat para da`ie...

Nideo ni ana ambil daripada salah satu penyertaan yang dihantar dalam Pertandingan Video OSEM APG `11(keputusannya 31 Disember ni).. Moga mampu menyuntik kembali semangat kita untuk terus berjuang di jalannya...






Tuesday, December 27, 2011

Tarbiyah Dan Dakwah. Apa Istimewanya Kita?

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM....


"Ana nak tanya antum. Apa hebatnya kita ini berbanding orang-orang yang tidak duduk di dalam halaqah ini?", bibir tua itu mengukir senyum. Tersirat.


'Ada sesiapa yang boleh jawab?'


Lalu seorang anak muda bangkit mahu menjawab. 'Ustaz. Pada pandangan ana, kita berbeza kerana kita ditarbiyyah'.


'Lalu, apa yang enta maksudkan dengan tarbiyyah itu?'


Terdiam sebentar anak muda itu. 'Ustaz, bagi ana, ana merasakan tarbiyyah itu seperti satu tembok yang memisahkan diri ana dengan orang-orang yang sedang sibuk bergelumang dengan duniawi'.


Semakin lebar senyum si guru tua itu. 'Jazakallah. Bagaimana dengan orang lain?'

'Ana, ustaz'. Seorang pemuda yang lain menggangkat tangan. 'Ana mahu beri pandangan. Ana rasa, kita mulia kerana kita melaksanakan dakwah kerana dakwah inilah jalan hidup para rasul dan orang-orang beriman'. Penuh semangat bicaranya. Semua mata yang berada di bilik kecil itu memandangnya dan mengangguk-angguk tanda setuju dengan bicara anak muda berkopiah coklat itu.


Guru tua itu menarik nafas, mahu menyambung bicara. Riak wajahnya masih tenang seperti tadi.


'Anak-anak ku. Apa mulianya kita ini? Antum kata kita ditarbiyyah. Antum kata kita berdakwah. Adakah ini kemuliaan yang sebenar?'

'Mengapa ustaz? Salahkah?', potong seorang pemuda.


'Yalah ustaz. Bukankah Rasulallah juga ditarbiyyah? Dan bukankah Rasulallah juga berdakwah?', lelaki yang lain pula menambah.


Guru tua itu senyum sahaja. Matanya memandang wajah bersih anak-anak muda yang berada di sekelilingnya.


'Anak-anakku. Tidak dinafikan, Rasulallah juga berdakwah dan Rasulallah juga ditarbiyyah. Tarbiyyah yang direct datang daripada Allah melalui perantaraan Jibril a.s . Rasulallah juga berdakwah, tanpa penat, jemu, lelah, dan putus asa'.

Keadaan sepi sebentar.


'Namun anak-anakku, adakah dakwah dan tarbiyyah yang kita lalui ini menjanjikan kemuliaan bagi kita disisi Allah? Tidak. Tidak. Lupakah antum akan apa yang Allah kata tentang kemuliaan? Allah sebut dalam surah al-Hujurat, bahawa sungguh! kemuliaan itu hanyalah bagi orang yang bertaqwa'.


Pemuda-pemuda di sekelilingnya mengaguk-angguk tanda faham. Antara mereka, ada yang mencatat sesuatu.


'Taqwa. Satu perkataan tapi ianya sangat besar maksudnya. Di dalam taqwa lah, wujud dakwah dan wujud juga tarbiyyah'

'Tadi, saudara kita ada berkata bahawa kita mulia kerana tarbiyyah dan dakwah. Ana terkejut juga sebenarnya. Apa kita layak mengatakan diri kita, satu produk tarbiyyah sedang kita hanya menjadi taqwa di dalam halaqah ini? Dan apa kita merasa kita layak mendapat kemuliaan dan taqwa sedang kita hanya berdakwah, dalam HALAQAH ini?'


Anak-anak muda itu senyap. Mereka ternanti-nanti bicara seterusnya dari guru yang sangat mereka kagumi itu.


'Anak-anakku. Apa itu taqwa sebenarnya? Taqwa itu ialah kehidupan kita, bukannya lakonan kita. Taqwa bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat kerana kewujudannya sangat seni dan halus'.

'Ana memetik kata-kata Imam Ghazali tentang akhlak. Akhlak ialah apa yang keluar dari dalam diri kita secara automatik, tanpa perlu kita fikir. Tahukah antum semua, akhlak ini adalah lambang dan bukti wujudnya taqwa?'
Mereka menggangguk.



'Dan, islam juga bukan satu sandiwara. Ia juga bukan satu aktiviti. Ia adalah cara hidup. Apa yang berlaku sekarang, ana lihat dalam banyak keadaan kita berasa diri kita ini mulia kerana kita join usrah, tabligh atau mana-mana jemaah sedangkan dalam masa yang sama, ketaqwaan kita tidak ditonjolkan'.

'Antum faham tak maksud ana?'

"Kurang faham...", hampir serentak anak-anak muda itu menjawab.


'Beginilah. Antum perlu faham bahawa taqwa itu ialah apa yang perlu ada dalam diri kita setiap saat, bukannya hanya ketika dalam halaqah atau semasa berdakwah. Tidak! Sebaliknya taqwa wajib wujud dalam diri antum setiap saat, setiap masa'.


'Antum tahu apa tuntutan taqwa?'


'Senang nak faham, taqwa memerlukan kepada penghayatan. Dan siapakah qudwah atau model insan bertaqwa? Semestinya Rasulallah. Antum lihat sirah. Lihat bagaimana Rasulallah berdakwah. Dakwahnya bermacam-macam cara. Dari sekeras-keras mata pedang, hinggalah kepada selembut-lembut roti yang disuap ke mulut wanita tua dan buta yang mencaci Baginda, dakwah tetap bergerak'.



'Ustaz, boleh cerita tentang wanita Yahudi itu? Ana kurang faham'.


'Wanita Yahudi itu sangat tua dan buta. Tapi, tersangat kuat kebenciannya kepada Rasulallah. Setiap hari, Rasulallah akan datang kepadanya untuk memberinya makan. Setiap kali itulah, wanita itu akan mengata Baginda kerana dia tidak tahu bahawa yang memberinya makan itu ialah Baginda. Baginda s.a.w sendiri menghancurkan roti di mulutnya sebelum disuap ke mulut wanita itu kerana mahu memudahkan wanita itu makan'.


'Rasulallah datang dan melaksanakan perkara yang sama hari-hari. Memberi makan, dan menerima cacian. Tiap kali itu jugalah, Baginda akan tersenyum dan diam. Amalan Baginda berterusan hingga Baginda wafat. Lalu, Saidina Abu Bakar menggantikan Rasulallah memberi makan kepada wanita itu. Tapi malang, wanita itu tahu bahawa yang memberinya makan bukan orang yang sama, tapi orang yang lain kerana layanannya tidak selembut layanan Rasulallah. Lalu, wanita itu bertanya dimana manusia yang sangat baik yang memberinya makan sebelum ini. Lalu dijawab dalam tangis rindu Saidina Abu Bakar bahawa lelaki itu ialah Rasulallah. Wanita itu masuk islam akhirnya'.


Subhanallah.



'Anak-anakku, untuk kita menegakkan islam, kita harus terlebih dahulu meleburkan takbur kita. Kita merasa kita hebat kerana kita berilmu. Tidak dinafikan, memang kita alim, banyak ilmu. Tapi apa gunanya alim kita jika diselit takabbur?'

Semua orang tunduk. Bermuhasabah diri.


'Ana berpesan sungguh-sungguh kepada diri ana, jua kepada antum semua. Jangan kita merasa diri kita hebat hingga dengan mudah, kita label orang itu sebagai 'tertutup hati' dan seumpanya. Seperkara lagi, taqwa itu bukan hanya mesti dilahirkan semasa kita liqo' dan duduk dalam halaqah, sebaliknya ia harus dizahirkan dalam setiap inci perbuatan kita'.


'Ketahuilah juga bahawa bukan amal soleh kita yang memasukkan kita kedalam syurga, sebaliknya yang memasukkan kita kedalam syurga ialah keampunan dan rahmat Allah. Amal soleh hanyalah kerana perintah Allah. Maka,jangan sesekali kita berasa amal kita ini hebat. Belum tentu'.



'Belum tentu orang yang ditarbiyyah dan berdakwah ini baik. Tapi orang yang baik, tentu akan ditarbiyyah dan berdakwah. Inilah sebenarnya yang sedang kita cuba lakukan. Moga-moga Allah terima usaha kerdil kita ini'.


Guru tua itu menghabiskan bicaranya. Kelihatan, anak-anak muda disekelilingnya seperti sedang kesedihan, mungkin kerana 'terkesan'. Maka, guru tua itu membacakan firman Allah dalam surah Al-Qasas ayat 77:





"Dan carilah pahala akhirat dengan apa-apa yang telah Allah kurniakan kepadamu..."






***


Semoga kita semua faham, bahawa agama itu bukannya sesuatu yang sifatnya 'sekejap ada-sekejap tiada'. Agama juga bukan sesuatu yang harus dipakai dalam situasi-situasi tertentu sahaja. Dan agama juga bukan sesuatu yang boleh dijual-jual untuk mendapatkan kemahsyuran atau sanjungan.


Sebaliknya agama ialah pakaian. Maka, tutuplah keaiban diri kita dengan menjadi orang beragama.


Ingat, kita bukan Tuhan yang boleh menghukum orang yang tidak mahu tarbiyyah dan tak mahu menerima dakwah. Sebaliknya, kita lihat diri kita. Sejauh mana tarbiyyah itu berjaya membentuk kita menjadi hamba.


Sesungguhnya, kita hanyalah makhluk yang asalnya setitis mani...hina..dan akan terus hina tanpa redha-Nya.



Artikel ini untuk diri saya. Agar saya mampu bermuhasabah diri.


Astaghfirullah...


Astaghfirullah...


Astaghfirullah..
 


SUMBER: http://www.murabbi.net/articles.php?article_id=591




p/s: Kita bukan sesiapa tanpa iman dan taqwa...