Friday, August 21, 2009

..:: HIkmAh PuAsa daN sAhUr ::..


Hadis Puasa - Abu Hurairah (ra) telah meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

"Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka.
~Bau mulut daripada seorang Islam yang sedang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi.
~Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa.
~Allah mempersiapkan dan menghiasi Jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: 'Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar(di dunia) dan akan mendatangimu.'
~Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan.
~Pada malam terakhir bulan Ramadhan (orang-orang Islam yang berpuasa ini) akan diampunkan. " Maka sahabat-sahabat Rasulullah (saw) pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam Lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah (saw): "Tidak, tetapi selayaknyalah seorang yang beramal itu diberi balasan setelah dia menyempurnakan tugasnya. "

BERSAHUR

Ibnu Umar(ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengirim rahmat ke atas mereka yang makan sahur. "
Betapa besarnya kurnia Allah ke atas kita sehinggakan makanan yang diambil ketika bersahur untuk berpuasa pun diganjari dengan banyaknya. Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan bersahur dan ganjaran-ganjarannya juga dinyatakan.

Pengulas Sahih Bukhari, Allamah Aini telah menukilkan kelebihan bersahur daripada tujuh belas orang sahabat yang berlainan dan kesemua ulama bersetuju bahawa bersahur adalah mustahab (disukai). Kebanyakan orang sering terlepas daripada ganjaran besar ini semata-mata kerana kemalasan mereka. Setengahnya sudah tarawikh, mereka lantas makan (yang disangka mereka itulah makanan sahur) lalu pergi tidur. Betapa besarnya berkat yang telah mereka kerugian! Sahur sebenarnya bermaksud mengambil makanan sebelum hampir waktu subuh menjelang. Setengah ulama mengatakan bahawa waktu sahur bermula selepas sebahagian daripada malam berlalu (mirqat).

Pengarang Kasy-Syaff (Zamakhsyari) telah membahagikan malam kepada enam bahagian, dan menunjukkan bahagian yang terakhir adalah waktu sahur, jadinya apabila malam (iaitu setelah matahari terbenam sehingga subuh) mengambil masa sebelas atau dua belas jam, maka dua jam yang terakhir adalah waktu yang tepat untuk bersahur. Maka hendaklah diingat juga bahawa mengambil makanan pada waktu yang paling lewat terlebih besar ganjarannya daripada makan pada waktu awal dengan syarat tidak ada keraguan bahawa makanan sahur telah diambil sebelum subuh. Banyak sekali hadis-hadis yang memberitahu tentang kelebihan bersahur.
Rasulullah (saw) bersabda: "Perbezaan di antara puasa yang kita lakukan dengan yang dilakukan oleh Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak melakukannya."
Baginda bersabda lagi: "Bersahurlah kerana di dalamnya terdapat berkat yang besar, dan lagi, terdapat keberkatan di dalam tiga perkara iaitu dalam jamaah, di dalam makanan 'tharid' dan bersahur. "

Di dalam hadis ini, penggunaan perkataan jamaah adalah bersifat umum, yang mana dapat disimpulkan bahawa ia termasuk solat berjamaah dan lain-lain amalan kebaikan yang dilakukan secara berjamaah kerana pertolongan Allah datang kepada mereka. Tharid adalah sejenis makanan yang enak yang diperbuat daripada roti bakar yang dimasak bersama daging. Perkara ketiga yang disebutkan di dalam hadis ini ialah sahur. Apabila Rasulullah (saw) mengundang mana-mana sahabatnya untuk makan sahur bersama-samanya, baginda selalu bersabda: "Marilah mengambil makanan yang berkat ini bersama-samaku."

Di dalam sebuah hadis dinyatakan bahawa: "Bersahurlah dan perkuatkan puasamu. Dan tidurlah selepas pertengahan (khailullah) untuk membantumu bangun pada akhir malam (untuk beribadah). "
Abdullah bin Harith (ra) meriwayatkan bahawa seorang sahabat telah berkata: "Suatu ketika aku menziarahi Rasulullah (saw) tatkala baginda sibuk bersahur. Kemudian, Rasulullah (saw) bersabda: 'Inilah perkara yang penuh dengan keberkatan.’

SIRI 3 : KELEBIHAN SAHUR & TAMAR
“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.” -HR Bukhari dan MuslimIbadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Namun dalam era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa. Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka?
Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.
Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:
 Menuruti sunnah;
 Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;
 Menambah kekuatan untuk beribadat;
 Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;
 Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan
 Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.
Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.
Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut. Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran. Selamat bersahur dan wassalam.

SIRI 2 : EMPAT TUNTUTAN
"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183
Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.
Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;
1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.
Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa: "Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."
Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya. Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah". Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul. Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka.
Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."
Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.
Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan. Selamat beribadat dan wassalam.

0 comments: