Sunday, August 30, 2009

..::: La TaHzAn ::..


Ya Allah...
Aku hambaMU yang tidak terlepas daripada dosa,
Aku hamba yang sentiasa dalam kelalaian dan kealpaan,
Aku sedar aku takkan terlepas daripada ujian,
itu JANJIMU TUHAN.

Tapi Ya Allah...
aku ini hambaMU yang lemah,amat lemah...
aku ini hambaMU yang hina,lagi dina...
Tika mana diuji pasti tak tertahan diri...
Tika mana diuji pasti serba tak kena...
Tika mana diuji pasti mengeluh kesah,lagi gelisah...
Apa lagi yang tak kena pada diri ini Ya Allah....
Ya Allah...
Aku tak tertahan lagi dengan mehnahMU ini...
Aku tak kental lagi untuk hadapi ujian ini...
Ujian yang ku tahu mematangkan diri...
Ujian yang ku tahu ada hikmah tersirat di sebaliknya ...

Ya Rahman Ya Rahim...
Dalam solatku ya Allah...
ku hayati bait kataMU....
"kepadaMU aku sembah dan kepadaMU aku memohon pertolongan,
tunjukkan aku jalan yang lurus,
jalan orang-orang yang KAU beri nikmat,
bukan jalan orang yang KAU murkai
dan bukan jalan mereka yang sesat"
Allahumma amin...
Air mata kehambaan mengalir membasahi pipi...
"ketahuilah! sesungguhnya Al-Quran itu adalah 1 peringatan yang sangat besar pengajarannya*oleh itu sesiapa yang mahu mendapat peringatan,dapatlah peringatan daripadanya"-(Al-Mudatsir:ayat 54-55)-

Ya Mannan Ya Hannan...
Aku tahu KAU penolong setiaku,
KAU penunjuk jalan terbaikku,
KAU tempat ku mengadu,
KAU tempat luahan apa yang terbuku di qalbu...
Ya Allah...
Ku mohon petunjukMU,
Berikanku jalan keluar dari dibelenggu...
Ku mohon pertolonganMU,
Berikanku penyelesaian berhikmah daripada terburu-buru...
Dengan berkat InayahMU beriku jalan keluar,
Berikanku cara terbaik menghadapi ujianMU Ya Allah.
Ku mohon padaMU Ya Allah Ya Tuhanku,
Ku mohon padaMU Ya Ghaffar,Ya Kareem
Ku mohon...ku mohon...
MOHON DENGAN SANGAT

"Ya Tuhanku hanya ENGKAU yang dapat mengerti kesedihan yang merobek diri,ku tak tahan lagi"
tersenyum bibir dalam nafas bismillah,terjalin ikatan dalam nafas ukhuwah,terjerat hati dalam nafas cinta,terkuyu mata dalam nafas air mata,terhimpit nafsu dalam nafas hina,terpanah hiba dalam nafas yg Esa,tersujud sedu dalamnafas doa,tersekat suara dalam nafas innalillah,terbujur kaku dalam nafas barzakh,terjunam neraka dalam nafas nauzubillah,terpilih syurga dalam nafas alhamdulillah

"saat kekalahan itu bermula apabila kamu merasa lemah dalam perjuangan,dan saat kemenangan itu bermula apabila kamu melawan rasa lemah itu"(sayyid qutb)

"kadang-kadang kita terlalu banyak merancang,tapi kurang bermohon...terlalu banyak berfikir,tapi kurang tawakkal...terlalu banyak risau dan kurang optimis...kerana kita terlupa bahawa ujian itu adalah tarbiyah dari Allah"fikir-fikirkanlah...
"ujian adalah tarbiyah dari Allah"

Friday, August 21, 2009

..:: HIkmAh PuAsa daN sAhUr ::..


Hadis Puasa - Abu Hurairah (ra) telah meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

"Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka.
~Bau mulut daripada seorang Islam yang sedang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi.
~Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa.
~Allah mempersiapkan dan menghiasi Jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: 'Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar(di dunia) dan akan mendatangimu.'
~Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan.
~Pada malam terakhir bulan Ramadhan (orang-orang Islam yang berpuasa ini) akan diampunkan. " Maka sahabat-sahabat Rasulullah (saw) pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam Lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah (saw): "Tidak, tetapi selayaknyalah seorang yang beramal itu diberi balasan setelah dia menyempurnakan tugasnya. "

BERSAHUR

Ibnu Umar(ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengirim rahmat ke atas mereka yang makan sahur. "
Betapa besarnya kurnia Allah ke atas kita sehinggakan makanan yang diambil ketika bersahur untuk berpuasa pun diganjari dengan banyaknya. Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan bersahur dan ganjaran-ganjarannya juga dinyatakan.

Pengulas Sahih Bukhari, Allamah Aini telah menukilkan kelebihan bersahur daripada tujuh belas orang sahabat yang berlainan dan kesemua ulama bersetuju bahawa bersahur adalah mustahab (disukai). Kebanyakan orang sering terlepas daripada ganjaran besar ini semata-mata kerana kemalasan mereka. Setengahnya sudah tarawikh, mereka lantas makan (yang disangka mereka itulah makanan sahur) lalu pergi tidur. Betapa besarnya berkat yang telah mereka kerugian! Sahur sebenarnya bermaksud mengambil makanan sebelum hampir waktu subuh menjelang. Setengah ulama mengatakan bahawa waktu sahur bermula selepas sebahagian daripada malam berlalu (mirqat).

Pengarang Kasy-Syaff (Zamakhsyari) telah membahagikan malam kepada enam bahagian, dan menunjukkan bahagian yang terakhir adalah waktu sahur, jadinya apabila malam (iaitu setelah matahari terbenam sehingga subuh) mengambil masa sebelas atau dua belas jam, maka dua jam yang terakhir adalah waktu yang tepat untuk bersahur. Maka hendaklah diingat juga bahawa mengambil makanan pada waktu yang paling lewat terlebih besar ganjarannya daripada makan pada waktu awal dengan syarat tidak ada keraguan bahawa makanan sahur telah diambil sebelum subuh. Banyak sekali hadis-hadis yang memberitahu tentang kelebihan bersahur.
Rasulullah (saw) bersabda: "Perbezaan di antara puasa yang kita lakukan dengan yang dilakukan oleh Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak melakukannya."
Baginda bersabda lagi: "Bersahurlah kerana di dalamnya terdapat berkat yang besar, dan lagi, terdapat keberkatan di dalam tiga perkara iaitu dalam jamaah, di dalam makanan 'tharid' dan bersahur. "

Di dalam hadis ini, penggunaan perkataan jamaah adalah bersifat umum, yang mana dapat disimpulkan bahawa ia termasuk solat berjamaah dan lain-lain amalan kebaikan yang dilakukan secara berjamaah kerana pertolongan Allah datang kepada mereka. Tharid adalah sejenis makanan yang enak yang diperbuat daripada roti bakar yang dimasak bersama daging. Perkara ketiga yang disebutkan di dalam hadis ini ialah sahur. Apabila Rasulullah (saw) mengundang mana-mana sahabatnya untuk makan sahur bersama-samanya, baginda selalu bersabda: "Marilah mengambil makanan yang berkat ini bersama-samaku."

Di dalam sebuah hadis dinyatakan bahawa: "Bersahurlah dan perkuatkan puasamu. Dan tidurlah selepas pertengahan (khailullah) untuk membantumu bangun pada akhir malam (untuk beribadah). "
Abdullah bin Harith (ra) meriwayatkan bahawa seorang sahabat telah berkata: "Suatu ketika aku menziarahi Rasulullah (saw) tatkala baginda sibuk bersahur. Kemudian, Rasulullah (saw) bersabda: 'Inilah perkara yang penuh dengan keberkatan.’

SIRI 3 : KELEBIHAN SAHUR & TAMAR
“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.” -HR Bukhari dan MuslimIbadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Namun dalam era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa. Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka?
Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.
Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:
 Menuruti sunnah;
 Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;
 Menambah kekuatan untuk beribadat;
 Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;
 Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan
 Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.
Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.
Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut. Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran. Selamat bersahur dan wassalam.

SIRI 2 : EMPAT TUNTUTAN
"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183
Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.
Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;
1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.
Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa: "Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."
Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya. Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah". Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul. Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka.
Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."
Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.
Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan. Selamat beribadat dan wassalam.

Wednesday, August 12, 2009

..: HikmAh, rAhSia dAn KhAsIaT sUrAh-sUraH daN aYaT-aYaT aL-QuRaN aL-kArim::.



(1) BISMILLAH (Dengan nama Allah)

Barangsiapa membaca sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, nescaya terpelihara dari godaan dan gangguan syaitan, dari bencana
manusia dan jin, daripada kecurian dan kebakaran, dan daripada kematian terkejut. Dan barangsiapa membaca sebanyak 50 kali
diahadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada
pembaca.

(2) SURAH AL-FATIHAH (Pembukaan)

Barangsiapa membacanya sebanyak 41 kali diantara sembahyang sunatnya, nescaya permintaannya di perkenankan, jika sakit lekas sembuh dan nescaya dikasihi oleh makhluk dan ditakuti oleh musuh. Barangsiapa membaca 20 kali sesudah tiap-tiap sembahyang fardhu, nescaya rezkinya dilapangkan oleh Tuhan dan bertambah baik keadaannya, serta bercahaya rohaninya.

(3) AYAT AL-KURSI (Kekuasaan Allah)

Barangsiapa membacanya sekali selepas setiap sembahyang fardhu, nescaya terpelihara dari tipudaya dan ganguan syaitan.
Dengan membacanya, seorang yang miskin akan menjadi kaya, dan jika dibaca ketika hendak tidur nescaya akan terselamat dari kecurian, kebakaran dan kekaraman. Barangsiapa sentiasa membaca ayat Al-Kursi, nescaya Allah akan kurniakan kepada ahli rumahnya kebaikkan yang tidak terhitung banyaknya. Barangsiapa berwudhuk lalu membaca sekali, nescaya Allah Akan meninggikan darjatnya setinggi 40 darjat dan Allah akan mendatangkan para malaikat menurut bilangan hurufnya, seraya berdoa untuk
si pembaca sehinggalah ke hari Qiamat. Dan tersebut dalam hadith yang lain: Barangsiapa membacanya ketika hendak tidur, nescaya Allah akan membuka pintu rahmat baginya hingga kesubuh, dan mengurniakan kota nur menurut bilangan rambut dibadannya. Jika si pembacanya meninggal dunia pada malam itu, ia dikira mati syahid. Hadith yang lain mengatakan: Barangsiapa membacanya selepas setiap sembahyang fardhu, nescaya akan terpelihara dari kekerasan malakul-maut, dan Allah sendiri yang mencabut rohnya, dan dia akan dibangkitkan bersama para Mujahid yang berjihad beserta para Anbiya hingga ia gugur mati Syahid.
Imam Jaafar Shadiq r.a. mengatakan: Barangsiapa membaca sekali, nescaya Allah akan menghindar darinya 1,000 kesukaran duniawi, yang terkecil sekali ialah kemiskinan dan kepapaan, dan 1,000 kesukaran ukhrawi, yang terkecil sekali ialah azab neraka.

(4) SURAH AL-BAQARAH (Sapi Betina)

Barangsiapa membaca dua ayat terakhir dari surah ini (Amanarrasulu) sebelum tidur, ia akan terselamat dari segala bala bencana dan mara bahaya.

(5) SURAH ALI-IMRAN (Keluarga Imran)

Barangsiapa membaca tiga ayat yang pertama dari surah ini, Nescaya ia akan mencapai kesihatan dari segala penyakit dan terselamat dari gangguan jin.

(6) SURAH AN-NISSA' (Perempuan)

Barangsiapa yang membaca ayat yang ke 75 dari surah ini, nescaya ia akan terselamat dari kejahatan para penjahat.


(7) SURAH AL-MAIDAH (Hidangan)

Barang siapa membaca ayat yang ke 7 dari surah ini, sebanyak yang mungkin selama 3 hari berturut -turut, insya Allah akan terselamat dari was-was semasa wudhu dan sembahyang. Barang siapa membaca ayat 89 hingga ayat 101 dari surah ini, keatas air lalu diberi minum kepada orang yang bercakap dusta, nescaya ia tidak akan bercakap dusta lagi.

(8) SURAH AL-AN'AM (Binatang Ternak)

Barang siapa membacanya sebanyak 7 kali, nescaya akan terhindar dari segala bala bencana. Jika ayat 63 dan 64 dari surah ini,dibaca oleh penumpang kapal, ia akan terselamat dari karam dan tenggelam.


(9) SURAH AL-A'RAAF (Benteng Tinggi)

Barang kali membaca ayat 23 dari surah ini, selepas tiap-tiap sembahyang fardhu, lalu beristighfar kepada Allah, nescaya akan terampun segala dosanya. Barang siapa membaca ayat 47 dari surah ini, ia akan terpelihara dari kekacauan para penzalim serta ia
akan mendapat rahmat Allah.

(10) SURAH AL- ANFAL (Rampasan)

Barang siapa membaca ayat 62 dan 63 dari surah ini, nescaya dia akan di cintai dan dihormati oleh sekalian manusia.


(11) SURAH AL-BARAAH (AT-TAUBAH) (Pemutus perhubungan)

Barangsiapa membacanya, nescaya akan terselamat dari kemunafiqan dan akan mencapai hakikat iman. Barang siapa membaca ayat 111 dari surah ini, dikedai atau ditempat-tempat perniagaan, nescaya akan maju perniagaannya itu.


(12) SURAH YUNUS (Yunus)
Barangsiapa membaca ayat 31dari surah ini, keatas Perempuan yang hamil, nescaya ia melahirkan anak dalam kandungannya itu dengan selamat. Barangsiapa membaca ayat 64 dari surah ini, nescaya ia akan terhindar dari mimpi-mimpi yang buruk dan mengigau.


(13) SURAH AL-HUD (Hud)

Barang siapa membaca, nescaya ia akan mendapat kekuatan dan Kehebatan serta ketenangan dan ketenteraman jiwa. Barang siapa membaca ayat 56 dari surah ini, pada setiap masa, nescaya ia akan terselamat dari gangguan manusia yang jahat dan binatang yang liar. Barang siapa membaca ayat 112 dari surah ini, sebanyak 11 Kali selepas tiap-tiap sembahyang, nescaya akan mencapai ketetapan hati.


(14) SURAH YUSUF (Yusuf)

Barang siapa membacanya, akan di murahkan rezekinya dan diberikan kemuliaan kepadanya. Barang siapa membaca ayat 64 dari surah ini, ia akan terhindar dari kepahitan dan kesukaran hidup.Barang siapa membaca ayat 68 dari surah ini, nescaya Allah akan
mengurniakan kesalehan kepada anak-anaknya.

(15) SURAH AR-RA'D (Petir)

Barang siapa membaca ayat 13 dari surah ini, ia akan terselamat dari petir. Dan barangsiapa membaca ayat 28 dari surah ini, nescaya Penyakit jantungnya akan sembuh.

(16) SURAH IBRAHIM (Ibrahim)

Barang siapa membaca ayat-ayat 32 hingga 34 dari surah ini, nescaya anak-anaknya akan terhindar dari perbuatan-perbuatan syirik dan bida'ah.

(17) SURAH AL-IIIJ'R (Batu Gunung)

Barang siapa membaca 3 ayat yang terakhir dari surah ini, ke atas perempuan yang selalu anak kandungannya gugur, nescaya anak kandungannya itu akan terselamat, dari gugurnya.

(18) SURAH BANI ISRAIL (anak-anak Israil)

Barang siapa membacanya ke atas air, lalu diberi minum kepada orang yang bercakap gagap insya Allah akan hilang gagapnya itu.
Barang siapa membaca ayat 80 dari surah ini, ketika ia pulang dari perjalanan, nescaya dia akan dimuliakan dan dihormati oleh orang-orang yang setempat dengannya.


(19) SURAH AL-KAHF (Gua)

Barang siapa membacanya, akan terhindar dari kemiskinan dan kepapaan. Barang siapa membacanya pada malam Jumaat, nescaya dia akan mendapat rezeki yang murah.


(20) SURAH MARYAM (Maryam)

Barang siapa membacanya, nescaya akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

(21) SURAH THAAHAA (Hai Manusia)

Barang siapa membacanya, nescaya Allah akan mengurniakan kepadanya ilmu pengetahuan dan akan tercapai segala maksudnya.
Barang siapa membaca ayat-ayat 25 hingga 28 sebanyak 21 kali, tiap-tiap hari selepas sembahyang subuh nescaya otaknya akan cerdas dan akalnya akan sempurna.

(22) SURAH AL ANBIYA (Nabi-Nabi)

Barang siapa membaca ayat 83 dari surah ini, nescaya dia akan mendapat sebesar-besar pangkat di sisi Allah s.w.t .

(23) SURAH AL-HAJ (Haji)

Barang siapa membacanya, Allah akan membinasakan musuh-musuhnya.

(24) SURAH AL-MU'MINUN (Orang-orang Mukmin)

Barang siapa membacanya ke atas air, lalu diberi minum kepada orang yang selalu minum minuman keras,nescaya dia tidak akan meminumnya lagi. Barang siapa membaca ayat 28 dari surah ini, nescaya perahunya akan terselamat daripada karam dan rumahnya akan terselamat dari kecurian dan serangan musuh.

(25) SURAH AN-NUUR (Cahaya)

Barang siapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari mimpi-mimpi yang buruk. Barang siapa membaca ayat 35 dari surah ini,pada hari Jumaat sebelum sembahyang Asar, nescaya dia akan disegani oleh orang ramai.

(26) SURAH AL-FURQAN (Pembaca)

Barang siapa membacanya sebanyak 3 kali ke atas air yang bersih, lalu air itu dipercikkan di dalam rumah, nescaya rumah itu akan terselamat dari gangguan binatang-binatang yang liar dan ular-ular yang bisa.


(27) SURAH ASY-SYU A'RA (Ahli-ahli Syair)

Barang siapa membaca ayat 130 dari surah ini, sebanyak 7 kali dengan senafas ke atas orang-orang yang digigit oleh binatang-binatang yang berbisa nescaya akan hilang bisa-bisa itu.


(28) SURAH AN-NAML (Semut)

Barang siapa membacanya nescaya nikmat-nikmat Allah akan kekal kepadanya.


(29) SURAH AL-QA-SHASH (Cerita)

Barang siapa membacanya ke atas pekerja-pekerjanya, nescaya Mereka tidak akan mencuri dan mengkhianat. Barang siapa membaca ayat-ayat 51 hingga 55 dari surah ini, Nescaya otaknya akan cergas, akalnya akan sempurna dan budi pekertinya akan
halus.

(30) SURAH AL-ANKABUT (Labah-labah)

Barang siapa membacanya, nescaya demamnya akan sembuh. Barang siapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari gelisah dan keluh kesah.

(31) SURAH AR-RUM (Rum)

Barang siapa membacanya, nescaya Allah akan membinasakan orang yang hendak menzaliminya.


( 32) SURAH LUQMAN (Luqman)

Barang siapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari segala-gala penyakit terutama dari penyakit-penyakit perut. Barang siapa membaca ayat 31 dari surah ini, nescaya akan terselamat dari bencana banjir.

(33) SURAH AS-SAJ DAH (Sujud)

Barang siapa membaca ayat-ayat 7 hingga 9 dari surah ini, ke atas kanak-kanak yang baru lahir, nescaya ia akan terhindar dari segala-gala penyakit ruhani dan jasmani.


(34) SURAH AL-AHZAB (Golongan-golongan)

Barang siapa membaca ayat-ayat 45 hingga 48 dari surah ini, nescaya ia akan mendapat kemuliaan dan kehormatan sejati. Dan barang siapa membaca ayat-ayat 60 hingga 66 dari surah ini, nescaya Allah akan membinasakan musuh-musuhnya.


(35) SURAH SABA' (Saba')

Dengan membacanya, terselamatlah ia dari segala-gala bala bencana, terutamanya dari rosaknya tanam-tanaman.

(36) SURAH FAATHIR (Pencipta)

Barang siapa membaca ayat-ayat 29 dan 30, nescaya Allah Akan memberkati perniagaannya


(37) SURAH YAASIIN (Hai Manusia)

Nabi kita Muhammad s.a.w bersabda : "Tiap-tiap sesuatu Mempunyai hati dan hati Al-Quran ialah surah Yaasiin." Yaasiin kerana Allah, nescaya akan terampun segala-gala dosanya kecuali dosa syirik.." Dalam satu hadith yang lain Baginda s.a.w bersabda:
"Hendaklah kamu membaca surah Yaasiin ke atas pesakit-pesakitmu yang menghadapi sakaratul-maut, nescaya Allah s.w.t akan meringankan kekerasan sakaratul-maut itu." Dalam satu hadith yang lain pula Baginda s.a.w bersabda : "Aku ingin benar, agar surah
Yaasiin ini dihafaz oleh tiap-tiap umatku." Barang siapa membacanya sebanyak 41 kali, pasti akan tercapai segala hajat dan cita-citanya.
Barang siapa membacanya sebanyak 21 kali pada malam Jumaat, Lalu berdoa istghfar untuk kedua ibu bapanya, nescaya dosa kedua ibu bapanya akan diampunkan oleh Tuhan. Barang siapa membaca sekali ketika membuka kedai atau perniagaan, nescaya akan maju perniagaannya itu. Barang siapa membacanya sekali pada awal malam, andaikata ia mati pada malam itu, mesti ia mati syahid. Barang siapa membacanya sekali selepas tiap-tiap sembahyang Jumaat, nescaya ia akan diselamatkan dari siksa kubur.
Jika dibacanya oleh seorang askar, ketika ia hendak turun kemedan peperangan, Allah akan mengurniakan kepadanya keberanian dan kegagahan, serta naiklah ketakutan pada musuh -musuhnya. Hikmat-hikmat dan khasiat-khasiat surah Yaasiin ini banyak benar didapati di dalam kitab-kitab hadith tetapi cukuplah setakat ini untuk diamal oleh anda sekalian.

(38) SURAH ASH-SHAAFFAAT (Yang Berbaris)


Barang siapa membacanya, insya Allah in akan terpelihara daripada gangguan jin.

(39) SURAH SHAAD (Shaad)

Dengan membaca ayat 42 dari surah ini, nescaya akan mendapat kebahagian sejati.


sesungguhnya Allah yang berkuasa untuk menyembuhkan sesuatu..bergantung kepada sejauh mana kita bergantung kepada-NYA..selamat beramal..

Friday, August 07, 2009

..: TakKan Masih PuaSa OrAnG aWaM ??:..


Perbezaan puasa orang awam dengan orang soleh

~ sejauh mana keberkatan Ramadhan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan ilmu, iman dan tingkatan nafsu kepada yang lebih baik.
~sejauh mana kelebihan bulan ini dapat dirasai kesannya pada rohani dan pembentukan peribadi.
~lapar dan dahaga orang soleh menambahkan lagi iman dan menundukkan nafsu


CIRI-CIRI PERBEZAAN

1. Orang soleh mengutamakan amalan hati di samping bersungguh-sungguh dengan amalan anggota lahir. Ketika mulut dan perutnya berpuasa , hatinya turut berpuasa – tidak membenci orang.

2. Orang soleh , ibadatnya dibuat secara bersungguh-sungguh supaya ‘menjadi’ iaitu beri kesan kepada hati dan peribadi, serta bertambah dekat dengan Allah.

3. Orang soleh , bangun tidur saja sudah ingat Tuhan dan segera bangkit untuk tunaikan kewajipan kepada Allah.

4. Orang soleh , puasanya menjadi satu mata rantaian dari rantaian ibadah-ibadah yang pelbagai serta pelengkap pengabdian diri kepada Tuhan.
~dipakejkan dengan solat fardu di awal waktu, solat sunat, sedekah, baca Quran, berzikir, memaafkan orang, lemah lembut dan berkasih sayang dengan orang lain, serta menjauhi segala yang haram dan makruh.

5. Orang soleh apabila lapar akan ingat pada orang yang susah yang tiada makanan dan sempit hidupnya.

6. Orang soleh , puasanya menundukkan nafsu dan menguatkan jiwa kepada takwa.
~berbuka dengan juadah sekadarnya
~nafsu makin tunduk dan lemah kesan dari puasa.

7. Orang soleh waktu berbuka, hatinya antara takut dan harap kerana dia tidak tahu apakah puasanya diterima atau tidak.

8. Orang soleh melihat dosa seperti gunung yang hendak menghempap kepalanya
~apabila berbuat dosa, segera bertaubat lantaran ingat firman Allah.” Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu..” (Ali Imran : 133)

9. Orang soleh sentiasa terdorong untuk memperbanyak taubat dan beristighfar kerana rasa berdosa apabila terlalai dari mengingati Allah.

10. Orang soleh menjadikan malam sebagai waktu untuk bersunyi-sunyi dengan Allah.
~terdorong untuk bangun malam dan menikmati keindahannya pada solat tahajud dan munajat

11. Orang soleh sentiasa ingat mati dan tidak panjang angan-angan
~merindukan kematian untuk bertemu dengan Allah

Tidak mahukah kita menjadi orang soleh, orang bertakwa atau termasuk dalam golongan Ashabul Yamin (golongan kanan))?

Renungan buat ana juga sebagai hamba Allah…
Salam menyambut Ramadhan Karim…..

Thursday, August 06, 2009

..: KeIsTiMEwAaN SyA'BaN :..


Kesibukan Umat Islam mengerjakan amal ibadah dalam sepanjang bulan Rejab, seharusnya diteruskan dengan amalan bulan ibadah dalam bulan Sya’ban. Ini disebabkan bulan Sya’ban juga penuh dengan keberkatan dan kebaikan, termasuk berbagai-bagai fadhilat dan kelebihannya.

Ini menepati maksud sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a, sabda baginda bermaksud :


“Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulan ku (Rasulullah) dan Ramadhan adalah bulan umatku.

Ketiga-tiga bulan itu hendaklah dihayati dan dimanfaatkan sebaik-baiknya sebagai usaha pelaburan yang amat menguntungkan pada hari akhirat kelak.

FADHILAT DAN KELEBIHAN SYA’BAN

Terdapat banyak hadis Rasulullah SAW mengenai fadhilat dan kelebihan bulan Sya’ban bagi mereka yang berusaha memanfaatkannya dengan mengerjakan berbagai amalan ibadah.

Sayidatina Aisyah r.a. menyatakan , tidak pernah Rasulullah SAW berpuasa lebih banyak melainkan dalam bulan Sya’ban (selain bulan Ramadhan) ; sesungguhnya baginda SAW telah berpuasa sebulan penuh. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Sayidina Aisyah r.a menceritakan, Rasulullah SAW telah bersabda :
Sesungguhnya Allah Taala turun pada malam pertengahan (nisfu) Sya’ban ke langit dunia dan mengampunkan dosa-dosa orang yang lebih banyak dari bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb) (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah )

Rasulullah bersabda yang bermaksud :
“Sya’ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Sya’ban mengkafarahkan (menghapuskan) dosa dan Ramadahan menyucikan dosa (jasmani dan rohani)”

Sabda Rasulullah SAW bermaksud, apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka pada malam tersebut berjagalah kamu dengan mendirikan solat , beribadat dan berpuasa pada siangnya.

Allah SWT berfirman, “ Sesiapa yang meminta ampun maka Aku mengampunkannya, mereka yang ditimpa bala bencana Aku lepaskannya, mereka ynag meminta rezeki Aku berikan rezekinya.”

Sabda Rasulullah SAW bermaksud bahawa Allah SWT memerhatikan hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka diampunkan dosa sekalian makhluk –Nya kecuali orang yang menyekutukan Allah dan orang yang tidak mahu bercakap sesama saudaranya (sesama orang Islam ).

FADHILAT DAN KELEBIHAN PUASA SYA’BAN

Puasa hari Isnin
Sebuah lagi Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah r.a., bermaksud sesiapa yang berpuasa pada hari Isnin yang terakhir dalam bulan Sya’ban akan diampunkan dosanya.

Puasa hari Khamis
Mereka yang berpuasa sunat pada hari Khamis pertama bulan Sya’ban dan Khamis terakhir bulan Sya’ban, akan dimasukkan ke dalam syurga.

Puasa sehari
Mereka yang berpuasa sunat sehari dalam bulan Sya’ban, akan diharamkan tubuhnya dari api neraka dan masuk syurga.

Puasa Tiga Hari
Mereka yang berpuasa sunat tiga hari dalam bulan Sya’ban dan berselawat ke atas Nabi SAW sebelum berbuka puasa, akan diampunkan dosanya dan diberkati rezekinya.

Puasa sebulan Sya’ban
Mereka yang dapat menyempurnakan puasa sunat sebulan Sya’ban maka akan dimudahkan Allah semasa sakaratul maut, terlepas dari azab kubur , ditutupkan Allah aibnya pada hari kiamat dan diwajibkan baginya syurga.


Malam Nisfu Sya’ban

Fadhilat dan kelebihan membaca yaasiin

Pada malam Nisfu (pertengahan) Sya’ban digalakkan membaca Surah Yaasiin tiga kali, sama ada individu atau berjemaah di mana jua;
1. Bacaan Yaasiin pertama, niatkan memohondipanjangkan umur untuk mentaati segala perintah dan menjauhi larangan-larangan Allah. Kemudian diikuti membaca doa di bawah: *

2. Bacaan Yassin kedua: niatkan memohon dipanjangkan umur untuk mentaati segala perintah dan menjauhi larangan-larangan Allah. Kemudian diikuti membaca doa di bawah.*

3. Bacaan Yaasiin ketiga, niatkan memohon ditetapkan iman yang sempurna sehingga meninggal kelak. Kemudian diikuti membaca doa di bawah.*



*Doa Setiap Kali Selesai Membaca Yaasiin Malam Nisfu Sya’ban.

“ Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah dan Penyayang. Segala puji bagi Allah. Tuhan yang memiliki alam, dan Selawat dan Salam atas semulai-mulia Rasul, junjungan kami Muhammad dan atas keluarga dan sahabat beliau sekaliannya. Ya Allah yang mempunyai kurnia dan tidak dikurnia bagi-Nya, Ya Tuhan yang Maha Besar dan Maha Mulia, ya Tuhan yang Maha Mempunyai nikmat dan pemberian, tiada Tuhan melainkan Engkau, Engkau tempat memohon perlindungan dan meminta pertolongan yang ketakutan. Ya Allah, andai kata ada Engkau telah menulis dan mencatat aku di dalam Ibu Kitab (Azali) seorang yang celaka, atau seorang yang tidak akan diberi nikmat kurnia, atau seorang yang akan dikutuk atau yang rezekinya disulitkan, maka mohonlah aku, kiranya dihapus dengan kurnia-Mu, ya Allah akan kecelakaanku, keharamanku, kena kutuk dan kesempitan rezeki itu. Kiranya tetapkanlah aku di dalam Ibu-Kitab itu menjadi seorang yang bahagia, beroleh rezeki dan beroleh taufik untuk segala kebaikan, kerana Engkau telah berfirman dan perkataan-Mu itulah yang sebenar-benarnya di dalam Kitab yang telah Engkau turunkan kepada Nabi Muhammad yang dirasulkan iaitu: “ Allah boleh menghapuskan apa-apa yang disukainya dan pada sisi Ummul-Kitab.”

Ya Tuhanku, dengan merendah diri ke hadrat-Mu pada malam nisfu Sya’banyang mulia ini, yang padanyalah ditetapkan, diputuskan segala urusan yang penting, kami memohon kiranya diangkatkan daripada kami segala bala, baik yang kami ketahui atau yang tidak kami ketahui dan Engkaulah Tuhan yang maha gagah dan maha Mulia. Dan kami mohonkan rahmat Allah kiranya dicurahkan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan atas keluarganya dan sahabatnya sekalian. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.

Digalakkan juga untuk solat sunat, beristighfar, berselawat dan berzikir.
Selamat beramal..semoga amalan pada bulan ini dapat di bawa untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan…

Dirujuk daripada: Buku Kelebihan Amalan Bulan Rejab, Sya’ban, Ramadhan, oleh Haji Johari Haji Alias, terbitan Darul Nu’man, ms 24-41