Wednesday, May 25, 2011

Revolusi Hati



Pembaharuan sesebuah masyarakat tidak datang dengan tiba-tiba atau dengan kebetulan sahaja. Setiap tamadun di dunia bangun sesudah tidurnya, menjadi kuat setelah mengalami kejatuhannya, maju sesudah mundurnya.


Manusia juga ada pasang surutnya. Penuh dengan emosi. Manusia memberontak jika kemahuan tidak dipenuhi. Ada sahaja perubahan yang diinginkan. Begitulah jugalah iman di dalam hati akan memberontak jika nafsu merajai. Mana mungkin diizinkan nafsu memerintah diri. Maka kita tidak akan mudah mengizinkan kemalasan mengatasi kerajinan, kebodohan mengatasi kepandaian, kezaliman mengatasi keamanan apatah lagi kemaksiatan mengatasi keimanan. Kerana semua itu akan mencabut ketenangan.


Namun bila mana kita tahu sifat keji harus dibuang, sifat negatif harus ditangkis. Di mana kekuatan kita? Sudah pasti dengan perubahan jiwa dan cara fikir dapat mengubah nasib kita sendiri. Justeru perkara yang paling penting yang perlu diberi perhatian oleh kita semua ialah, penghijrahan jiwa dan minda dengan dorongan iman. Hanya dengan iman kita akan temui jalan pembaharuan.


Kebanyakan daripada kita juga tahu bahawa jiwa kita itu seringkali ada pertembungan. Bahkan turut di'highlight'kan bahawa ada 3 jenis jiwa yang disebut dalam Al-Quran.


1. Jiwa yang menganjurkan kejahatan (An-nafs Al-ammarah bissu')


Jiwa ini mudah terpengaruh dengan pujukan hawa nafsu dan dari itu lahirlah segala sifat keji seperti marah, bongkak, zalim dan tidak segan-silu ingkar perintah Allah. Bahkan jiwa manusia seringkali terperangkap dalam dorongan hawa nafsu. Maka di sinilah perlu mujahadah melawan bisikan kejahatan. Tidak dapat tidak, iman sahaja yang mampu melawan hawa nafsu. Firman Allah melalui kata-kata isteri pembesar Mesir


"Dan aku tidak membebaskan diriku dari kesalahan kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

( Surah Yusuf : 53)


2. Jiwa yang mengecam tuannya (An-nafs Al-lawwamah)


Allah berfirman:

" Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali dirinya sendiri."

(Al-Qiyamah :2)


Jiwa ini mengikut huraian Hasan Al-Basri merupakan jiwa seorang mukmin iaitu ia sentiasa menyesali dirinya dan mempersoalkan setiap perbuatannya. Persoalan selalu berlegar dalam dirinya. Apa yang inginkan diperkatakan? Apa yang dilakukan? Sementara orang jahat terus melangkah ke hadapan tanpa pernah menyesali dirinya.


Bahkan jiwa ini juga akan selalu mengecam dirinya ketika melakukan kejahatan. "Mengapa kamu lakukannya?" dan dia juga mengecam dirinya yang melakukan kebaikan," Mengapa kamu tidak perbanyakkan." Hatinya akan merintih pilu mengenang masa silam kerana penyesalan mempersiakan waktu-waktunya bukan pada ketaatan.


Antara kata-kata Syed Qutb, " Maka jiwa ini sedar, bertaqwa, takut, bimbang dan sentiasa muhasabah dirinya. Ia memperhatikan sekelilingnya, mengenal pasti hakikat hawa nafsunya dan memperingatkan tipu daya dirinya. Ia merupakan jiwa yang mulia di sisi Allah dan lawan kepada jiwa yang jahat. Jiwa yang jahat adalah jiwa yang ingin melakukan kejahatan dan terus melangkah dalam kejahatan."


3. Jiwa yang tenang (An-nafs al-Mutmainnah)


Imam Qurtubi berkata, "Jiwa mutmainnah adalah jiwa yang tenang dan yakin. Ia yakin bahawa Allah adalah Tuhannya. Lantaran itu ia khusyu' dan tunduk."


Justeru marilah berhenti sejenak membaca, ambillah Al-Quran dan selaklah Surah Al-Fajr ayat 27 hingga 30. Indah bukan baik-bait ini.


Jiwa seperti ini kata Syed Qutb rahimahullah:


Tenang ketika senang dan susah

Tenang ketika lapang dan sempit

Tenang ketika terhalang dan beroleh kurniaan

Tenang maka ia tidak terpesong

Tenang maka ia tidak tergelincir dalam perjalanan

Tenang maka ia tidak ketakutan pada hari menakutkan dan mengerunkan (Hari Kiamat)


Sudah pasti selepas meneliti ketiga-tiga jenis jiwa ini yang kita idamkan adalah ketenangan dalam redha-Nya. Maka, langkah harus dimulakan. Yakin dengan-Nya, berbekalkan iman di dada, agar hati mampu berubah.


“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka berusaha merubah nasib mereka sendiri”.

(Surah Ar-Ra'd : 11)


Nah perubahan jiwa merupakan suatu revolusi dan pembaharuan tentang tujuan hidup, cita-cita dan keinginan. Perubahan hanya bermula ketika kita berusaha mencari jalan keluar. Merubah daripada kebiasaan yang kita lakukan kepada sebuah pembaharuan. Sungguh, Sinar sendiri pernah dan sedang mengalami beberapa perubahan. Tanpa iman dan petunjuk daripada-Nya sungguh diri rasa lemah yang bersangatan.


Takkan ada revolusi jika diri tidak berani dan diri diam menyepi. Hakikatnya dengan sebuah langkah, segalanya mampu berubah!


Moga kesalahan-kesalahan masa lalu menjadi pembuka pintu ketaatan yang baru. Kerana kita hamba yang lemah sentiasa memerlukan Dia sebagai Pemberi kekuatan.


Ayuh kita usaha miliki yang tenang dalam dakapan Illahi.


SUMBER

Monday, May 16, 2011

Salam Imtihan

Thursday, May 12, 2011

Ceramah Tips Menghadapi Peperiksaan


Bismillahirrahmanirrahim, 
Assalamualaikum w.b.t.. sempena "study week" pada minggu ini,Lujnah Tarbiah bersama Biro Agama dan Moral JPP mengadakan Solat Hajat dan Ceramah Motivasi sempena peperiksaan yang bakal ditempuhi oleh siswa & siswi IPG Ipoh.

Ayuh,jangan lepaskan peluang mengambil input dan tips berguna untuk menghadapi peperiksaan. Pastinya membantu memotivasikan kita untuk lebih bersemangat mengulangkaji pelajaran  dan membuat persediaan awal sebelum menghadapi peperiksaan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah s.w.t, saban tahun setiap kali tibanya musim peperiksaan jemaah di Pusat Islam semakin berkurangan alasanya mahu menghabiskan ulangkaji pelajaran.Cuba kita fikir sejenak,adakah alasan ini yang bakal kita bawa ketika disoal oleh Allah? mampukah kita menjawab sedemikian rupa? Lupakah kita,saat kita ditimpa kesusahan Allah permudahkan urusan kita,Allah s.w.t. membuka jalan mudah untuk kita lalui..
Sahabat-sahabat,lupakah kita..bahawa selama ini nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita terlalu banyak nikmat sihat,nikmat masa lapang..nikmat mempunyai sahabat-sahabat ,nikmat kemewahan elaun yang diterima..itu semua adalah nikmat yang kita terima secara percuma..nikmat ini tidak terhitung jumlahnya..dari sel-sel yang hidup dalam tubuh kita,sehinggalah sistem-sistem yang berkerja dalam badan kita..semuanya kita rasai tanpa perlu dibayar dan diganti dengan apa-apa..

Namun,apabila Allah s.w.t hendakkan kita tunduk dan patuh pada perintahnya,seribu alasan kita bina untuk melepaskan diri dari bebuat apa yang sepatutnya.Malulah sahabat..malulah..malulah pada Tuhan yang seringkali melimpahkan nikmat dan karuniaNYA kepada kita,sedang hamba-hambaNya mengingkari perintah dan suruhanNYA..masyaallah.Berdosanya kita..



Sempena peperiksaan yang bakal menjelma,
Lujnah Tarbiyah mengucapkan 

"SELAMAT MENEMPUHI PEPERIKSAAN"
dan
semoga berjaya mendapat keputusan yang cemerlang!!



Salam Mujahadah,
Salam Imtihan,
Moga Najjah,
menjadi keputusan..

Sunday, March 13, 2011

10 Muassafat Tarbiah

1) Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

Dakwah adalah berat pada tanggungjawab dan tugasnya, maka di sini perlunya seorang da’ie itu tubuh badan yang sihat dan kuat. Rasulullah saw menitikberatkan soal ini, sabdanya:

"Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan."

Kita juga hendaklah sentiasa memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan atau minum suatu yang boleh dan diketahui merosakkan badan.

2) Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

Akhlak kita ialah Al-Quran dan ianya terserlah pada diri Nabi saw. Telah dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan seorang da’ie iaitu bersifat sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatannya, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.

3) Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)

Seorang da’ie perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain perihalnya di samping perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis serta ulama’ yang thiqah. Pesan Imam Banna:

"Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi."

Selain itu, seorang da’ie perlu mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, sentiasa mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.

4) Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

Seorang da’ie walaupun kaya, perlu bekerja. Dia juga tidak boleh terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan. Dalam keadaan tertentu, meletakkan jawatan dan meninggalkan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan yang diterima. Selain itu, dia hendaklah sentiasa melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan). Dalam soal kewangan, menjauhi riba dalam semua lapangan, menyimpan untuk waktu kesempitan, menjauhi segala bentuk kemewahan apatah lagi pembaziran dan memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam adalah beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan.

5) Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

Seorang da’ie semestinya redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Sentiasalah muraqabah kepada Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir. Di samping itu, jangan dilupakan tugas menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

6) Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

Seorang da’ie perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya, perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram dan tidak melampau atau berkurang (pertengahan) atau dengan kata lainnya bersederhana dalam setiap urusan dalam kehidupannya.

7) Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

Seorang da’ie perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Perlulah diingatkan bahawa dai'e mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.


8) Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

Sentiasa beringat bahawa waktu, nilainya lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Mengimbau kembali sejarah di zaman dahulu, para sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.

9) Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

Untuk manfaatkan waktu dengan baik, maka timbulnya keperluan kepada penyusunan dalam segala urusan. Gunakanlah segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

10) Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)

Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup dan terkuburnya Islam bergantung kepada da’ie. Amal Islam seorang da’ie ialah untuk menyelamatkan orang lain daripada kesesatan. Da'ie akan sentiasa merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.





SUMBER : iluvislam.com

Thursday, March 03, 2011

Selamat Hari Lahir


Warga Lujnah Tarbiah IPG Kampus Ipoh dengan penuh kesyukuran ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Pembimbing Lujnah, Saudara MUHAMMAD EHSAN B ABD HALIM. Semoga akh sentiasa dirahmati, diberkati dan berada dalam rahmatnya selalu...