Wednesday, November 10, 2010

Enam Pertanyaan Imam Al-Ghazali

  1. Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia?
  2. Apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia?
  3. Apakah yang paling besar di dunia?
  4. Apakah yang paling berat di dunia?
  5. Apakah yang paling ringan di dunia?
  6. Apakah yang paling tajam di dunia?

Pada suatu hari Imam Ghazali berkumpul bersama-sama dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya beberapa soalan:


PERTAMA : beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :"Orang tua, guru, kawan dan sahabat". Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah 'mati'. Sila rujuk surah Ali 'Imran ayat 185.

KEDUA : beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :" negara China, bulan, matahari dan bintang". Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'masa lalu'. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.

KETIGA : beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: " Gunung, bumi, matahari". Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah 'nafsu'. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahanam. Rujuk surah al-A'raf ayat 179

KEEMPAT : beliau bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu muridnya menjawab :" besi, gajah". Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'menanggung amanah'. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.

KELIMA : beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab :" Kapas, angin, debu dan awan". Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'meninggalkan sembahyang' kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

KEENAM : beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab:''Pedang". Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'lidah manusia' di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.

Tuesday, November 09, 2010

Jangan Merajuk Wahai Da`ie

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan. Setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena. Begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai'e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa... Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda.

Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah `menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi'. Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah... Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan...


Nabi Yunus menyeru pada kaumnya

Sembahlah Allah Yang Maha Esa

Tinggallah berhala yang tidak bernyawa

Jauhi perbuatan yang sia-sia

Seruan Nabi tidak diterima

Nabi diejek dan Nabi dihina

Baginda tidak berputus asa

Walau dicaci walau dihina

Akhirnya Nabi merasa hampa

Umatnya masih menderhaka

Lalu dia pergi membawa hati Ke tepi pantai seorang diri

Kapal pedagang Baginda menumpang

Membawa diri ke rantau orang

Malangnya laut bergelombang

Hampir karam ditengah lautan

Bila diundi Nabi merelakan

Terjun ke laut penuh bergelora

Baginda ditelan ke perut Ikan Nun

Gelap gelita tidak terkira

Sedarlah baginda akan silapnya

Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa

Menangislah Nabi penuh duka

Memohon Ampun dari Tuhannya


Begitulah kisah seorang Nabi diuji Allah begitu sekali… Wahai Dai'e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da'wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang ingkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan. Menyoroti kehidupan Dai'e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:


Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah: Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya
(Al-Furqan:56-57)

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata:

Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim
(Al-Anbiyaa':87)

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai'e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan…



Inilah Dai'e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan...

Sunday, November 07, 2010

Kelas Literasi Ilmu

Bismillahirrohmanirrohim...


Assalamualikum warahmatullahi wabarakatuh...


InsyaAllah pada malam ini akan diadakan Kelas Literasi Ilmu yang akan disampaikan oleh Us. Syed Bakri bertempat di Pusat Islam Al-Hidayah... Semua pelatih guru IPG Kampus Ipoh dijemput hadir... Segala maklumat mengenai program tersebut adalah seperti berikut:



Saturday, November 06, 2010

Doa Amalan

Doa untuk Mengulangkaji Pelajaran

Doa memulakan ulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir. Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.”


Doa selepas mengulangkaji


اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku menitip apa yang aku baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu.”



Doa Pada Hari Peperiksaan


Dicadangkan agar doa-doa berikut diucapkan pada hari peperiksaan, iaitu sebelum dan semasa peperiksaan berlangsung:


1. Ketika memasuki dewan peperiksaan:

وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا

Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”


2. Ketika menerima kertas soalan:

قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”



3. Ketika sukar menjawab:


ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”


4. Atau:

اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”


5. Jika anda terlupa jawapan:

اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ
Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku.”


p/s: ~semoga bermanfaat ~

Monday, November 01, 2010

Kita Masih Jauh


Ketika Kota Konstantinople telah ditawan, dan waktu Jumaat telah masuk, Sultan Muhammad Al Fateh berkenan untuk memilih imam bagi memimpin solat Jumaat yang pertama di Kota Konstantinople. Namun cara pemilihannya agak unik, beliau memanggil seluruh tenteranya dan meminta mereka semua berdiri dengan teratur.

Setelah semuanya dalam kedudukan yang tersusun, maka dia pun bertanya kepada tentera-tenteranya.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat fardhu, sila duduk." Tidak ada siapa di kalangan anggota tenteranya yang duduk.

Kemudian beliau bertanya lagi.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat-solat sunat yang utama?” Ketika ini sebilangan kecil dari anggota tenteranya duduk.

Kemudian beliau bertanya lagi.

“Siapa di antara kamu yang pernah meninggalkan solat tahajjud sila duduk.” Kali ini seluruh anggota tenteranya duduk kecuali beliau sendiri dan akhirnya beliau sendiri yang memimpin solat berjemaah di Kota Konstantinople.

Ternyata beliau adalah orang yang paling soleh dan dekat dengan Allah di kalangan tenteranya, maka benarlah sabda junjungan bahawa yang akan menakluk Konstantinople itu adalah tentera yang terbaik dipimpin oleh pemimpin yang terbaik.

Maha suci Allah, jika beginilah kualiti pemimpin dan tentera Sultan Muhammad Al Fateh yang menakluk dan membebaskan Kota Konstantinople dari jajahan Byzantine, maka tidak hairanlah pertolongan Allah akan sentiasa bersama dengan mereka.

Jika kita bertanyakan soalan yang sama pada generasi muda hari ini, mungkin pada soalan yang pertama sahaja telah ramai yang ‘kantoi’ apatah lagi apabila ditanyakan soalan kedua dan ketiga. Mungkin jika ditanya soalan ini kepada kumpulan para pendakwah hari ini pun, belum tentu natijahnya sama dengan apa yang didapati Sultan Muhammad Al Fateh kepada tenteranya.

Hari ini, kita berada dalam satu generasi yang lebih menghafaz nama-nama artis dan pemain bola sepak handalan daripada sahabat-sahabat Nabi dan nama pahlawan-pahlawan Islam sepanjang zaman. Lebih bermaklumat tentang sejarah juara Piala Dunia dari 1930-an berbanding sejarah agung umat Islam. Generasi yang lebih ghairah dan cinta kepada bola sepak berbanding cinta kepada keimanan dan kehidupan Islam yang indah. Generasi yang sanggup bangun malam untuk melihat pasukan kegemaran berbanding bangun malam untuk memohon keampunan.

Ternyatalah bahawa sebenarnya kita masih jauh dengan kemenangan, selagi mana generasi hari ini tidak dididik dengan didikan Islam yang sebenar dan menghayati kehidupan Islam secara total, maka selagi itulah umat akan terus dijajah dan diratah oleh musuh.

Penyelesaian kepada kemelut yang melanda hari ini hanyalah dengan mengembalikan semula jatidiri dan kemuliaan Islam kepada setiap peribadi muslim. Generasi hari ini haruslah dididik untuk cinta kepada keimanan lebih dari cinta kepada hiburan dan kelalaian. Cinta kepada kebaikan dan kesungguhan lebih dari cinta kepada kerehatan dan kemalasan. Lebih cinta untuk membaca Al-Quran dan solat malam berbanding membaca analisis Piala Dunia dan bangun malam kerana bola.

Projek membina generasi Muhammad Al Fateh adalah projek besar yang memerlukan kepada persediaan yang rapi, kesabaran yang tinggi dan kebijaksanaan yang bukan calang-calang kerana generasi yang ingin dibina adalah generasi yang mempunyai kesungguhan dan tekad yang kuat untuk menolak godaan hawa nafsu.

Kita harus mengoreksi diri kita dan memeriksa, apakah kita telah terlibat dalam projek pembinaan generasi Al Fateh. Jika tidak, bagaimana kita harus bermula? Hanya kita sendiri yang boleh mencari jawapannya.

“Ramai yang boleh berdakwah, tetapi tidak ramai yang cinta pada dakwah”.


sumber