Tuesday, November 10, 2009

bi Taufiq wan Najah fil Imtihan

~~<@ salam perjuangan buat sahabat2 lujnah tarbiyah.. semoga terus thabat dalam memperkasakan tarbiyah di IPGM KAMPUS IPOH.. semoga ALLAH membalas jasa baik antum.. perkasakan dakwah nescaya ISLAM kan mewangi di dunia ini..
AYUH BANYAKKAN BERDOA UNTUK KEMENANGAN ISLAM =)


RINTANGAN PASTI MELANDA..JANGAN UNDUR WALAU SELANGKAH..

Kadang-kadang kita berdoa untuk kuat tapi kenapa banyak dugaan , kadang-kadang kita minta cerdik masalah pula yang timbul, kadang-kadang kita minta kebahagiaan tapi huru-hara pulak…Dugaan ini menjadikan mental kita kuat, masalah menjadikan kita berfikir, huru-hara menjadikan kita tabah. Hebat tak Allah? Semua ada hikmah…kalaulah manusia tahu hadis ini “ telah berkata Jibril wahai tuhan, Engka sampaikanlah hajat hambaku, maka Allah menjawab , “ Biarkanlah hamba itu, kerana aku mencintai suaranya..
semoga sahabat2 IPGM kampus IPOH mumtaz dlm exam dunia n akhirat..doakan untuk kami juga di bumi UK ini..
salam ukhuwah sekencang perjuangan..
WUFI- WE UNITE FOR ISLAM
STRIVE FOR THE EXCELLENCE OF UMMAH

Sunday, September 13, 2009

Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar



Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar

Oleh; Dr. Samsu Adabi Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia


Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq.
maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)


Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan.
Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).



http://www.rakanmasjid.com/artikel/25-lain-lain/455-nuzul-al-quran-dan-lailatul-qadar.html

Saturday, September 05, 2009

::: BiLa maLaM mEnJELmA ::


"Malam itu gelap gelita tetapi ia amat indah. Di muka langit bertaburan bintang-bintang yang berkelipan, disisi bulan yang terang benderang. Untuk apakah Allah s.w.t jadikan malam? Ada waktu malam yang dihiasi dengan munajat kepada Allah s.w.t dan ada malam yang dihiasi dengan derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi malam itu tidak sentiasa indah dan permai kerana ia bergantung kepada penghuni-penghuninya.Bagi orang-orang yang soleh merindui malam ibarat pengantin menanti malam pertama. Kerana pada waktu malam untuk mereka bermesra-mesra dengan Tuhannya. Pada waktu malam tiada kebisingan kecuali mereka mengadu dan bermunajat kepada Tuhannya.Kalau sepasang kekasih mencari waktu malam untuk memadu kasih, maka tidak hairan kalau orang-orang yang soleh juga menggunakan waktu malam untuk memadu cinta sejati dengan Allah s.w.t.

Berkata Al Fudhail bin Iyadh, “Apabila terbenam matahari maka saya gembira dengan gelap. Dan apabila terbitnya matahari maka saya berdukacita kerana datangnya manusia kepadaku!” Abu Sulaiman pula berkata, “Jikalau tidaklah kerana malam nescaya saya tidaklah menyukai tinggal di dunia ini.” Selain dari keheningan malam yang ada pada waktu malam, Allah juga menurunkan malaikat-malaikat pada malam hari untuk memberi rahmat kepda hamba-hambaNya yang sedang beribadah. Malaikat akan turun ke bumi mencari manusia-manusia yang menghidupkan malam dengan ibadah untuk diberi rahmat dan diaminkan doanya.


Pada waktu malam juga akan ada satu detik di mana barangsiapa yang berdoa ketika itu akan dikabulkan segala hajatnya. Solat yang didirikan pada waktu malam juga lebih banyak manfaat dan lebih pahalanya. Sabda Rasulullah bermaksud: “Dua rakaat yang dikerjakan oleh hamba pada waktu tengah malam adalah lebih baik baginya dari dunia dan isinya. Dan kalaulah tidak memberi kesukaran kepada umatku, nescaya saya wajibkan kedua rakaat itu atas mereka.”Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: “Kerjakan solat dua rakaat dalam kegelapan malam untuk kesuraman kubur.”Maka sebaik-baik pengisian waktu malam ialah dengan mendirikan ibadah solat. Allah memberi pandangan kepada golongan ini kerana mereka telah sanggup meninggal keenakan dan keselesaan beristirehat untuk bangun mengabdikan diri sebagai seorang hamba. Di tengah-tengah kesejukan dan kedinginan malam, maka golongan ini telah membasuh diri dengan wudhuk dan berdiri serta sujud kepada Allah s.w.t. Untuk melakukan pekerjaan ini bukannya mudah. Ia memerlukan kegigihan pada hati serta hidup cintanya dengan Tuhan. Sebab itu Allah menyediakan sebuah syurga bagi hamba-hambaNya yang menghidupkan malam.Meskipun itu adalah janji dari Allah s.w.t. kepada kita namun kepayahan untuk menghidupkan malam lebih ketara lagi kerana syaitan turut memainkan peranan dengan bersungguh-sungguh menghalang manusia melakukannya.



Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Diikat oleh syaitan di atas seseorang kamu dengan tiga ikatan apabila ia sedang tidur. Maka syaitan memukul tiap-tiap tempat ikatan tersebut sepanjang malam sehingga tertidurlah kamu. Kalau kamu terbangun dan berzikir kepada Allah s.w.t nescaya terbukalah satu ikatan. Kalau berwuduk nescaya terbukalah satu ikatan lagi dan kalau bersolat nescaya terbukalah semuanya. Sehingga kamu menjadi rajin dan baik jiwanya. Kalau tidak yang demikian nescaya menjadi keji jiwa dan malas.”Bila dilihat dari segi halangan-halangan yang terpaksa ditempuhi oleh seseorang yang mahu menghidupkan malam dengan ibadah, maka tidak salah kalau diletakkan mereka dealam golongan mnusia yang berjiwa gigih dan hidup cintanya dengan Allah s.w.t. Golongan ini juga telah mewarisi pekerjaan orang-orang soleh.Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Haruslah kamu bangun malam kerana itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya bangun malam adalah mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla, menutup segala dosa, menghilangkan segala penyakit pada tubuh dan mencegah daripada dosa.”
::: PeRiNgAtAn BuaT aNa jUGa :: sALAm UkHUwAh SeKeNcAnG dAkWaH ::

Sunday, August 30, 2009

..::: La TaHzAn ::..


Ya Allah...
Aku hambaMU yang tidak terlepas daripada dosa,
Aku hamba yang sentiasa dalam kelalaian dan kealpaan,
Aku sedar aku takkan terlepas daripada ujian,
itu JANJIMU TUHAN.

Tapi Ya Allah...
aku ini hambaMU yang lemah,amat lemah...
aku ini hambaMU yang hina,lagi dina...
Tika mana diuji pasti tak tertahan diri...
Tika mana diuji pasti serba tak kena...
Tika mana diuji pasti mengeluh kesah,lagi gelisah...
Apa lagi yang tak kena pada diri ini Ya Allah....
Ya Allah...
Aku tak tertahan lagi dengan mehnahMU ini...
Aku tak kental lagi untuk hadapi ujian ini...
Ujian yang ku tahu mematangkan diri...
Ujian yang ku tahu ada hikmah tersirat di sebaliknya ...

Ya Rahman Ya Rahim...
Dalam solatku ya Allah...
ku hayati bait kataMU....
"kepadaMU aku sembah dan kepadaMU aku memohon pertolongan,
tunjukkan aku jalan yang lurus,
jalan orang-orang yang KAU beri nikmat,
bukan jalan orang yang KAU murkai
dan bukan jalan mereka yang sesat"
Allahumma amin...
Air mata kehambaan mengalir membasahi pipi...
"ketahuilah! sesungguhnya Al-Quran itu adalah 1 peringatan yang sangat besar pengajarannya*oleh itu sesiapa yang mahu mendapat peringatan,dapatlah peringatan daripadanya"-(Al-Mudatsir:ayat 54-55)-

Ya Mannan Ya Hannan...
Aku tahu KAU penolong setiaku,
KAU penunjuk jalan terbaikku,
KAU tempat ku mengadu,
KAU tempat luahan apa yang terbuku di qalbu...
Ya Allah...
Ku mohon petunjukMU,
Berikanku jalan keluar dari dibelenggu...
Ku mohon pertolonganMU,
Berikanku penyelesaian berhikmah daripada terburu-buru...
Dengan berkat InayahMU beriku jalan keluar,
Berikanku cara terbaik menghadapi ujianMU Ya Allah.
Ku mohon padaMU Ya Allah Ya Tuhanku,
Ku mohon padaMU Ya Ghaffar,Ya Kareem
Ku mohon...ku mohon...
MOHON DENGAN SANGAT

"Ya Tuhanku hanya ENGKAU yang dapat mengerti kesedihan yang merobek diri,ku tak tahan lagi"
tersenyum bibir dalam nafas bismillah,terjalin ikatan dalam nafas ukhuwah,terjerat hati dalam nafas cinta,terkuyu mata dalam nafas air mata,terhimpit nafsu dalam nafas hina,terpanah hiba dalam nafas yg Esa,tersujud sedu dalamnafas doa,tersekat suara dalam nafas innalillah,terbujur kaku dalam nafas barzakh,terjunam neraka dalam nafas nauzubillah,terpilih syurga dalam nafas alhamdulillah

"saat kekalahan itu bermula apabila kamu merasa lemah dalam perjuangan,dan saat kemenangan itu bermula apabila kamu melawan rasa lemah itu"(sayyid qutb)

"kadang-kadang kita terlalu banyak merancang,tapi kurang bermohon...terlalu banyak berfikir,tapi kurang tawakkal...terlalu banyak risau dan kurang optimis...kerana kita terlupa bahawa ujian itu adalah tarbiyah dari Allah"fikir-fikirkanlah...
"ujian adalah tarbiyah dari Allah"

Friday, August 21, 2009

..:: HIkmAh PuAsa daN sAhUr ::..


Hadis Puasa - Abu Hurairah (ra) telah meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

"Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka.
~Bau mulut daripada seorang Islam yang sedang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi.
~Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa.
~Allah mempersiapkan dan menghiasi Jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: 'Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar(di dunia) dan akan mendatangimu.'
~Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan.
~Pada malam terakhir bulan Ramadhan (orang-orang Islam yang berpuasa ini) akan diampunkan. " Maka sahabat-sahabat Rasulullah (saw) pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam Lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah (saw): "Tidak, tetapi selayaknyalah seorang yang beramal itu diberi balasan setelah dia menyempurnakan tugasnya. "

BERSAHUR

Ibnu Umar(ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mengirim rahmat ke atas mereka yang makan sahur. "
Betapa besarnya kurnia Allah ke atas kita sehinggakan makanan yang diambil ketika bersahur untuk berpuasa pun diganjari dengan banyaknya. Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan bersahur dan ganjaran-ganjarannya juga dinyatakan.

Pengulas Sahih Bukhari, Allamah Aini telah menukilkan kelebihan bersahur daripada tujuh belas orang sahabat yang berlainan dan kesemua ulama bersetuju bahawa bersahur adalah mustahab (disukai). Kebanyakan orang sering terlepas daripada ganjaran besar ini semata-mata kerana kemalasan mereka. Setengahnya sudah tarawikh, mereka lantas makan (yang disangka mereka itulah makanan sahur) lalu pergi tidur. Betapa besarnya berkat yang telah mereka kerugian! Sahur sebenarnya bermaksud mengambil makanan sebelum hampir waktu subuh menjelang. Setengah ulama mengatakan bahawa waktu sahur bermula selepas sebahagian daripada malam berlalu (mirqat).

Pengarang Kasy-Syaff (Zamakhsyari) telah membahagikan malam kepada enam bahagian, dan menunjukkan bahagian yang terakhir adalah waktu sahur, jadinya apabila malam (iaitu setelah matahari terbenam sehingga subuh) mengambil masa sebelas atau dua belas jam, maka dua jam yang terakhir adalah waktu yang tepat untuk bersahur. Maka hendaklah diingat juga bahawa mengambil makanan pada waktu yang paling lewat terlebih besar ganjarannya daripada makan pada waktu awal dengan syarat tidak ada keraguan bahawa makanan sahur telah diambil sebelum subuh. Banyak sekali hadis-hadis yang memberitahu tentang kelebihan bersahur.
Rasulullah (saw) bersabda: "Perbezaan di antara puasa yang kita lakukan dengan yang dilakukan oleh Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) adalah terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak melakukannya."
Baginda bersabda lagi: "Bersahurlah kerana di dalamnya terdapat berkat yang besar, dan lagi, terdapat keberkatan di dalam tiga perkara iaitu dalam jamaah, di dalam makanan 'tharid' dan bersahur. "

Di dalam hadis ini, penggunaan perkataan jamaah adalah bersifat umum, yang mana dapat disimpulkan bahawa ia termasuk solat berjamaah dan lain-lain amalan kebaikan yang dilakukan secara berjamaah kerana pertolongan Allah datang kepada mereka. Tharid adalah sejenis makanan yang enak yang diperbuat daripada roti bakar yang dimasak bersama daging. Perkara ketiga yang disebutkan di dalam hadis ini ialah sahur. Apabila Rasulullah (saw) mengundang mana-mana sahabatnya untuk makan sahur bersama-samanya, baginda selalu bersabda: "Marilah mengambil makanan yang berkat ini bersama-samaku."

Di dalam sebuah hadis dinyatakan bahawa: "Bersahurlah dan perkuatkan puasamu. Dan tidurlah selepas pertengahan (khailullah) untuk membantumu bangun pada akhir malam (untuk beribadah). "
Abdullah bin Harith (ra) meriwayatkan bahawa seorang sahabat telah berkata: "Suatu ketika aku menziarahi Rasulullah (saw) tatkala baginda sibuk bersahur. Kemudian, Rasulullah (saw) bersabda: 'Inilah perkara yang penuh dengan keberkatan.’

SIRI 3 : KELEBIHAN SAHUR & TAMAR
“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.” -HR Bukhari dan MuslimIbadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Namun dalam era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa. Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka?
Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.
Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:
 Menuruti sunnah;
 Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;
 Menambah kekuatan untuk beribadat;
 Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;
 Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan
 Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.
Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.
Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut. Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran. Selamat bersahur dan wassalam.

SIRI 2 : EMPAT TUNTUTAN
"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183
Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.
Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;
1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.
Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa: "Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."
Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya. Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah". Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul. Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka.
Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."
Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.
Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan. Selamat beribadat dan wassalam.